Scout Eco-Run 5.0 Tarik Lebih 1,600 Peserta, Semarak Gaya Hidup Sihat
KUCHING:Program Scout Eco-Run 5.0 anjuran Majlis Pengakap Sarawak berjaya menarik penyertaan lebih 1,600 peserta terdiri daripada ahli pengakap, ibu bapa dan orang awam, sekali gus membuktikan sambutan menggalakkan terhadap aktiviti yang menggalakkan gaya hidup sihat serta kesedaran alam sekitar.
Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral (B) Profesor Dato Dr Mohd Zin Bidin telah menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang selepas tamat perlumbaan yang berlangsung dalam suasana meriah dan penuh semangat muhibah pada Sabtu.
Program tersebut mempertandingkan kategori larian 21 kilometer (km) dan 12km, selain kategori bukan pertandingan bagi jarak 7km dan 3km.
Sementara itu, 12 daerah lain di Sarawak turut menganjurkan larian 3km sama ada pada 20 atau 21 Jun 2026.
Dalam kategori Veteran Lelaki 21km, Razali Samar muncul juara diikuti Deris Jan di tempat kedua dan Robin Dagu di tempat ketiga.
Bagi kategori Terbuka Lelaki 21km, Arikchely Airyl menjuarai perlumbaan tersebut, manakala Abang Jamali dan Gerald Gayak masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Kategori Terbuka Wanita 21km pula dimenangi Lim Siat Fah, diikuti Nuryati binti Pulong dan Noor Zuharniza binti Junaita.
Sementara itu, Lim Siat Hiang muncul juara kategori Veteran Wanita 21km, mengatasi Lau Ngiik Ching dan Kona Liau A Ken yang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Bagi kategori 12km, Saidi bin Suni menjuarai kategori Terbuka Lelaki, manakala Zukanine Saring muncul juara kategori Veteran Lelaki.
Cherynna Corey Chin pula menjuarai kategori Terbuka Wanita 12km, sementara kategori Veteran Wanita dimenangi Ho Hie Knew.
Kesemua kategori pertandingan menawarkan hadiah wang tunai kepada pemenang tempat pertama hingga ke-10, manakala peserta kategori bukan pertandingan 7km dan 3km menerima baju-T kenang-kenangan, pingat serta sijil penyertaan.
Turut hadir, Pengerusi Exco Majlis Pengakap Sarawak Peter Chai Mui Seng, Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sarawak John Lim Boon Beng, Pegawai Pendidikan Daerah Padawan Sharifah Idawati Wan Ahmad, Pengetua SMK Sri Matang Othman Ibrahim dan Pengerusi Yayasan Pengakap Sarawak Arthur Lee Cheng Chuan. -EDISI UKAS