RADDA Perhebat Pembangunan Infrastruktur Luar Bandar Melalui Projek Jalan Baharu
SARIKEI: Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) terus mempergiat usaha memperkukuh jaringan infrastruktur luar bandar menerusi pelaksanaan beberapa projek jalan strategik yang bakal memberi manfaat besar kepada penduduk di kawasan Sarikei.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh berkata, antara projek utama yang sedang dirancang ialah pembinaan jalan menghubungkan Kerubong ke Sare sepanjang kira-kira tujuh kilometer dengan kos RM56 juta.
Menurutnya, projek berimpak tinggi itu kini berada pada peringkat reka bentuk sebelum ditender sama ada tahun ini atau tahun hadapan untuk pelaksanaan.
“Apabila siap nanti, penduduk akan menikmati perjalanan yang lebih mudah dan lancar ke Sare serta Sarikei tanpa perlu menggunakan laluan yang lebih jauh,” katanya ketika berucap pada Program Pengerami Ngiling Bidai di Dewan Masyarakat Sare, pada Ahad.
Selain itu, beliau berkata RADDA turut merancang pembinaan jalan menuju ke Bukit Kinyau melibatkan jarak kira-kira empat kilometer dengan kos RM30 juta.
Katanya, projek tersebut akan melengkapkan rangkaian jalan sedia ada di kawasan berkenaan sekali gus membuka lebih banyak peluang pembangunan dan kemudahan kepada penduduk luar bandar.
Dalam pada itu, Datuk Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang memaklumkan pembinaan jalan baharu ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sentebu turut diberi keutamaan bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat.
Menurutnya, projek sepanjang hampir satu kilometer itu akan menghubungkan kawasan berhampiran hospital dengan sekolah berkenaan, sekali gus menyediakan laluan yang lebih selamat dan selesa kepada murid, guru serta penduduk.
Beliau berkata peruntukan yang pada asalnya dicadangkan untuk pembinaan dewan sekolah telah disalurkan kepada projek jalan tersebut kerana keperluannya yang lebih mendesak dan memberi manfaat lebih besar kepada komuniti.
Tambahnya, pelaksanaan projek-projek di bawah RADDA mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan pembangunan luar bandar terus diperkasa menerusi penyediaan infrastruktur yang lebih berkualiti demi kesejahteraan rakyat.-EDISI UKAS