RM4.2 Juta Diluluskan Naik Taraf Jalan Ke Apau Nyaring
MIRI: Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan berjumlah RM4.2 juta bagi menaik taraf jalan perhubungan ke Kampung Apau Nyaring, Tinjar, sekali gus meningkatkan akses dan keselesaan penduduk di kawasan pedalaman tersebut.
Residen Bahagian Miri, Galong Luang berkata projek berkenaan dilaksanakan menerusi dua fasa dengan fasa pertama melibatkan peruntukan sebanyak RM2.7 juta yang kini sedang dilaksanakan.
Katanya, skop projek fasa pertama merangkumi pembinaan Jambatan Besi Sungai Bekata serta kerja-kerja membaik pulih jalan dari CTB Kilometer 10 hingga Sungai Bekata yang menjadi laluan utama penduduk kawasan berkenaan.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan susulan Mesyuarat Membincangkan Isu Jalan Perhubungan ke Apau Nyaring yang dipengerusikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato’ Dennis Ngau di Pejabat Residen Bahagian Miri pada Khamis.
Bagi meneruskan pelaksanaan projek tersebut, kerajaan turut meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM1.5 juta bagi fasa seterusnya yang melibatkan kerja-kerja membaik pulih jalan dari Sungai Bekata sehingga ke Kampung Apau Nyaring.
Kerja-kerja di tapak dijangka bermula minggu ini dan mengambil masa kira-kira dua bulan untuk disiapkan, tertakluk kepada keadaan cuaca dan faktor teknikal lain.
Menurut Galong, projek tersebut dilaksanakan susulan aduan dan permohonan yang dikemukakan penduduk berhubung keadaan jalan yang rosak serta sukar dilalui terutama ketika musim hujan.
Keadaan berkenaan sebelum ini menjejaskan pergerakan harian penduduk untuk mendapatkan akses kepada kemudahan pendidikan, kesihatan, perkhidmatan kerajaan dan aktiviti ekonomi.
Beliau berkata pelaksanaan projek itu dijangka memberi manfaat langsung kepada penduduk setempat melalui peningkatan tahap keselamatan dan keselesaan perjalanan, selain memperkukuh hubungan antara kawasan pedalaman dengan pusat-pusat perkhidmatan.
Tambah beliau, inisiatif tersebut selaras dengan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkasa pembangunan luar bandar serta meningkatkan kualiti hidup rakyat menerusi penyediaan infrastruktur yang lebih baik dan inklusif. -EDISI UKAS