Sarawak Tinjau Model Pembangunan Bandar Mampan & Tenaga Hijau Austria
AUSTRIA: Sarawak terus memperkukuh agenda pembangunan mampan menerusi lawatan rasmi ke dua projek ikonik di Vienna, Austria iaitu Aspern Seestadt dan Loji Janakuasa Hidro Freudenau bagi menimba pengalaman serta amalan terbaik dalam perancangan bandar pintar dan pembangunan tenaga boleh diperbaharui.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, lawatan tersebut bertepatan dengan usaha kerajaan negeri merancang pembangunan jangka panjang yang lebih mampan, khususnya menerusi penyediaan Pelan Tempatan Limbang-Lawas 2035 dan pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
“Sarawak sedang melaksanakan pembangunan yang memberi penekanan seimbang kepada kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.
“Pengalaman yang diperoleh daripada Vienna akan membantu kita memperkukuh perancangan pembangunan bandar, tenaga dan infrastruktur secara lebih menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mengetuai delegasi Kerajaan Sarawak dalam lawatan rasmi ke Aspern Seestadt dan Loji Janakuasa Hidro Freudenau, pada Jumaat.
Menurut Datuk Amar Awang Tengah, pengiktirafan Sarawak sebagai ekonomi berpendapatan tinggi oleh Bank Dunia merupakan satu pencapaian penting, namun pertumbuhan masa hadapan perlu disokong oleh infrastruktur yang berkualiti, penggunaan tenaga bersih dan pembangunan yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat.
Katanya, Aspern Seestadt menjadi contoh pembangunan bandar moden yang berjaya menggabungkan komponen perumahan, pekerjaan, pendidikan, rekreasi, pengangkutan awam, ruang hijau dan aktiviti ekonomi dalam satu ekosistem yang tersusun dan saling melengkapi.
Beliau berkata, pendekatan tersebut amat relevan dalam penyediaan Pelan Tempatan Limbang-Lawas 2035 yang bukan sahaja menumpukan kepada guna tanah, malah melibatkan pembangunan perumahan, komersial, pelancongan, logistik, kemudahan awam, pelaburan infrastruktur serta pemuliharaan alam sekitar secara bersepadu.
Dalam aspek tenaga pula, Datuk Amar Awang Tengah berkata Loji Janakuasa Hidro Freudenau membuktikan bagaimana infrastruktur hidroelektrik mampu menyokong penjanaan tenaga bersih sambil diintegrasikan dengan pengurusan sungai, pembangunan bandar dan perlindungan alam sekitar.
Beliau menambah, pengalaman yang diperoleh daripada projek tersebut akan membantu Sarawak memperkukuh pendekatan terhadap perancangan tenaga boleh diperbaharui, pembangunan rendah karbon, daya tahan iklim serta pengurusan sumber semula jadi secara mampan.
Menurutnya, elemen yang diterapkan di kedua-dua projek tersebut sejajar dengan aspirasi Sarawak untuk membangunkan bandar pintar yang berdaya tahan, memperluas penggunaan tenaga hijau serta mewujudkan rangka kerja pembangunan yang lebih mesra pelaburan dan responsif terhadap cabaran perubahan iklim.
Tambah beliau, pendekatan itu juga berpotensi memperkukuh sektor perdagangan sempadan, logistik, pelancongan, perkhidmatan dan industri berasaskan pertanian di wilayah utara Sarawak serta menyokong usaha negeri menjadi hab tenaga bersih serantau dan merealisasikan peranan sebagai ‘Bateri Hijau ASEAN’.-EDISI UKAS