Pembinaan Sistem Parit Baharu Berjaya Atasi Masalah Banjir Kilat Di Rumah Sagai Dampi
SIBU: Pelaksanaan pembinaan sistem parit tanah yang disambungkan terus ke parit utama di sepanjang jalan utama di kawasan Bawang Assan berjaya mengatasi masalah banjir kilat yang sebelum ini sering menjejaskan penduduk Rumah Sagai Dampi.
Pengerusi Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP) Cawangan Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau Kor Jie berkata, projek tersebut telah memberikan impak positif kepada penduduk setempat, khususnya dalam mengurangkan risiko banjir yang sering berlaku sebelum ini.
“Saya amat gembira mendengar maklum balas daripada penduduk bahawa sistem saliran di kawasan ini telah menunjukkan peningkatan yang ketara susulan siapnya projek RTP.
“Projek ini melibatkan pembinaan sistem parit tanah yang disambungkan ke parit utama di sepanjang jalan dan telah berjaya membantu mengurangkan kejadian banjir kilat yang sering menjejaskan rumah-rumah di rumah panjang ini sebelum pelaksanaan projek dilakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ngiling Bidai yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Sagai Dampi, di sini, pada Sabtu.
Menurut Kaunselor Kevin, kejayaan pelaksanaan projek infrastruktur seperti itu memerlukan persefahaman dan kerjasama yang kukuh antara semua pihak yang terlibat di peringkat akar umbi.
“Penambahbaikan seumpama ini hanya dapat direalisasikan apabila kita bekerjasama rapat dengan Tuai Rumah dan komuniti setempat untuk mengenal pasti masalah serta mencari penyelesaian yang praktikal,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan memelihara warisan budaya seperti tradisi Ngiling Bidai yang menjadi simbol penyatuan dan kebersamaan masyarakat setempat.
Turut hadir, Tuai Rumah Sagai Dampi serta ahli-ahli JKKK Rumah Sagai Dampi. -EDISI UKAS