Semangat Kesukarelawanan Perlu Berasaskan Minat, Tanggungjawab
MUKAH: Penglibatan dalam aktiviti kesukarelawanan perlu didorong oleh minat yang mendalam serta rasa tanggungjawab terhadap masyarakat dan bukannya kerana paksaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, semangat kesukarelawanan yang tinggi akan menjadikan seseorang itu lebih ikhlas dalam berkhidmat dan tidak menganggap pengorbanan masa serta tenaga sebagai satu kerugian.
Beliau berkata, individu yang benar-benar menghayati nilai kesukarelawanan akan berasa puas dan gembira apabila dapat menyumbang kepada masyarakat.
“Apabila semangat kesukarelawanan itu tinggi, kita tidak akan berasa menyesal atau rugi. Sebaliknya, kita akan berasa puas dan seronok setiap kali berjaya menyelesaikan sesuatu tugasan untuk membantu masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Kursus Asas Anggota Sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), di Kem Belia Mukah pada Ahad.
Royston menegaskan, tanpa minat, seseorang akan berasa terbeban untuk meneruskan tugas sebagai sukarelawan, manakala rasa tanggungjawab pula akan memastikan mereka sentiasa bersedia membantu tanpa mengira masa dan tempat.
"Saya berharap para peserta akan terus mengekalkan semangat kesukarelawanan yang tinggi serta memanfaatkan ilmu dan kemahiran yang diperoleh sepanjang kursus untuk berkhidmat kepada komuniti dengan penuh dedikasi," tambahnya lagi.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah (PPAD) Sibu Mej. (PA) Mohd. Redwan Aini memberitahu, penganjuran kursus itu adalah untuk memberi pendedahan awal kepada peserta.
"Kesukarelawan bukan sekadar satu aktiviti, tetapi satu nilai murni yang lahir daripada keikhlasan hati untuk membantu orang lain tanpa mengharapkan balasan.
"Semangat kesukarelawanan inilah yang menjadi tunjang kekuatan APM sejak penubuhannya," ujarnya.
Tambah beliau, slogan 'Sedia, Pantas, Beintegriti' perlu dijadikan sebagai pegangan dalam setiap tindakan dan perkhidmatan yang diberikan kepada masyarakat.
Hadir sama, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Mukah Kapt. (PA) Zuriza Sharkawi.-EDISI UKAS