Menara 4G Sungai Limo Perkukuh Ketersambungan Digital Luar Bandar Lundu
LUNDU: Penduduk Kampung Sungai Limo dan kawasan sekitarnya kini bakal menikmati capaian internet lebih pantas dan stabil menerusi penyiapan projek struktur telekomunikasi 4G di bawah seliaan Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA).
Penyiapan kemudahan berkenaan merupakan antara usaha berterusan memperluas infrastruktur telekomunikasi di kawasan luar bandar, sekali gus merapatkan jurang digital khususnya di sekitar Lundu dan Sematan.
Kemudahan tersebut dijangka memudahkan pelbagai urusan harian penduduk termasuk pembelajaran dalam talian, akses kepada perkhidmatan kerajaan secara digital, aktiviti perniagaan serta komunikasi.
Pada masa sama, peningkatan ketersambungan digital mampu membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat setempat untuk terlibat dalam ekonomi digital, selain memperluas akses kepada maklumat dan perkhidmatan.
Projek berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak menerusi GKCDA dengan kerjasama strategik Sarawak Multimedia Authority (SMA) dalam memperkukuh infrastruktur telekomunikasi di kawasan luar bandar.
Penyerahan projek siap tersebut berlangsung di Kampung Sungai Limo pada Rabu dan dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan.
Turut hadir, wakil SDEC, Abang Aszman Abang Zainuddin, wakil SMA, Maurice Patrick Dabot, Pegawai Tadbir Khas GKCDA, Datuk Ik Pahon Joyik. -EDISI UKAS