KUCHING: Seramai 50 peserta Women Vocational Skills Training (WST) diraikan dalam Majlis Graduasi WST 2026, dengan 14,646 peserta program berkenaan direkodkan telah menjana pendapatan melalui kemahiran yang diperoleh sepanjang tempoh 2022 hingga 2026.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pencapaian tersebut menunjukkan latihan kemahiran perlu bergerak melangkaui aspek pembelajaran dengan memberi tumpuan kepada keupayaan ekonomi peserta.
“Kita mahu melahirkan bukan sahaja wanita yang mempunyai kemahiran, tetapi wanita yang mempunyai keupayaan ekonomi,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan di Dewan Wisma Wanita di sini pada Rabu.
Beliau berkata, seramai 40,808 peserta telah mengikuti latihan WST sejak program itu diperkenalkan pada 2015 hingga Ogos 2026, manakala pendekatan program kini turut merangkumi aspek pendigitalan, keusahawanan dan pengurusan kewangan bagi membantu peserta mengembangkan kemahiran kepada aktiviti ekonomi yang lebih berdaya saing.
Majlis anjuran Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) itu menghimpunkan peserta daripada empat bidang iaitu jahitan, kulinari, kecantikan serta spa dan urut yang mengikuti latihan di Pusat Kemahiran Jahitan Komuniti (PKJK) Kuching dan PKJK Serian.
Daripada jumlah tersebut, 25 graduan menerima pengiktirafan kategori cemerlang selepas mencapai kadar penyertaan sekurang-kurangnya 80 peratus serta mempunyai perniagaan yang kukuh, manakala 25 lagi menerima kategori kepujian selepas mencapai kadar penyertaan sekurang-kurangnya 70 peratus dan sedang dalam usaha menjalankan perniagaan.
Dalam usaha menyesuaikan latihan dengan keperluan peserta, kandungan kursus jahitan telah diperluas daripada 15 kepada 22 modul sejak 2024, manakala kecantikan, spa dan urut serta kulinari masing-masing ditambah daripada 12 kepada 18 modul.
Pada tahun ini, JWKS turut melaksanakan 18 kelas tambahan bagi kursus kulinari, kecantikan serta spa dan urut di PKJK di luar Kuching.
Dato Sri Fatimah berkata, peluasan PKJK kepada tujuh bahagian iaitu Kuching, Serian, Sarikei, Sibu, Bintulu, Limbang dan Dalat membolehkan latihan dibawa lebih dekat kepada komuniti, khususnya wanita yang mempunyai tanggungjawab keluarga, tidak dapat mengikuti latihan yang jauh atau ingin memulakan perniagaan dari rumah.
Selain itu, penyertaan WST dibuka kepada peserta lelaki mulai 2025 bagi semua kursus kecuali spa dan urut, manakala Program WST Outreach telah dilaksanakan sebanyak lapan siri, melebihi sasaran empat siri.
Bagi tahun hadapan, JWKS akan memperkukuh kemahiran tenaga pengajar menerusi latihan digital serta mengadakan sesi libat urus bersama vendor kursus pada bengkel revisit November bagi mendapatkan maklum balas terhadap pelaksanaan latihan. - EDISI UKAS