Kemakmuran Ekonomi Sarawak Dinikmati Rakyat Melalui Pelbagai Inisiatif Kerajaan
SARIKEI: Kemajuan ekonomi yang dicapai Sarawak hari ini terus diterjemahkan kepada pelbagai inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat menerusi bantuan kebajikan, pendidikan, perumahan dan pembangunan infrastruktur di seluruh negeri.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir Yusuf Abdul Wahab berkata, kejayaan kerajaan negeri menjana hasil daripada pelbagai sektor strategik membolehkan lebih banyak program dan bantuan dilaksanakan demi meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata, di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, hasil negeri sentiasa dikembalikan kepada rakyat melalui pelbagai dasar dan inisiatif yang bersifat inklusif.
“Kerajaan bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi negeri, malah memastikan manfaatnya turut dirasai oleh rakyat melalui pelbagai bantuan dan kemudahan yang disediakan.
“Daripada kelahiran anak sehingga ke peringkat pendidikan, kebajikan dan perumahan, semuanya diberi perhatian oleh kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pengerami Ngiling Bidai bersama masyarakat di Sare, pada Ahad.
Dato Ir Yusuf menambah, sektor pendidikan terus menjadi antara agenda utama kerajaan negeri dengan pelbagai bantuan dan insentif diperkenalkan bagi membantu anak Sarawak melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Selain itu, beliau berkata, pelbagai bantuan lain turut disediakan termasuk Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), Kenyalang Gold Card (KGC) serta kemudahan pembiayaan perumahan bagi membantu rakyat memiliki kediaman sendiri.
Ujarnya, hasil yang diperoleh daripada sektor petroleum, tenaga, karbon dan sumber ekonomi lain turut digunakan untuk membiayai pelaksanaan projek pembangunan di seluruh Sarawak.
Dalam pada itu Dato Ir Yusuf berkata, pelbagai projek seperti pembinaan jalan raya, jambatan, naik taraf jalan kampung dan pemulihan rumah panjang dilaksanakan bagi meningkatkan kesalinghubungan serta memudahkan urusan harian rakyat.
Tambah beliau, pembangunan yang dilaksanakan secara berterusan bukan sahaja meningkatkan taraf hidup masyarakat, malah membuka lebih banyak peluang ekonomi khususnya kepada penduduk di kawasan luar bandar. -EDISI UKAS