Arkib Jadi Asas Pertahankan Hak Sarawak Di Bawah MA63
KUCHING: Arkib memainkan peranan penting dalam memastikan hak rakyat dan negeri dapat dipertahankan berasaskan rekod yang sahih, tersusun serta boleh diakses oleh generasi semasa dan akan datang.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, rekod sejarah dan dokumen rasmi bukan sahaja menjadi sumber rujukan, malah berfungsi sebagai bukti penting dalam memperkukuh kedudukan serta tuntutan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
"Saya menyeru semua pihak agar terus menyokong usaha pemeliharaan rekod dan bahan arkib bagi memastikan dokumen penting Wilayah Sarawak ini dipelihara dengan baik, didigitalkan secara strategik, diurus secara profesional dan dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat.
"Arkib yang teguh akan memperkukuh pentadbiran, memperkaya penyelidikan, menyokong ketelusan dan menjadi asas kepada keadilan merentasi generasi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian dan Forum Minggu Arkib Antarabangsa 2026 di Pustaka Negeri Sarawak pada Isnin.
Tambahnya, tema global sambutan tahun ini, #ArchivesForJustice: Rights, Memory & Futures, mengingatkan masyarakat bahawa arkib bukan sekadar tempat penyimpanan dokumen lama, tetapi institusi penting yang menyokong keadilan, memelihara hak dan membina asas ilmu untuk masa depan.
Dalam pada itu, Datuk Sharifah berharap forum ini dapat menghasilkan pandangan, cadangan dan kefahaman yang lebih jelas tentang hubungan antara arkib, MA63 dan masa depan Sarawak.
Ujarnya, perbincangan yang berlangsung hari ini hendaklah menjadi pencetus kepada lebih banyak penyelidikan, dokumentasi, perkongsian ilmu dan kerjasama antara agensi kerajaan, institusi pendidikan, komuniti dan para penyelidik.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) merangkap Ahli Lembaga Pengurusan Pustaka Negeri Sarawak Dato Ir Lo Khere Chiang, Pengerusi Lembaga Pengurusan Pustaka Negeri Sarawak Datuk Dr Abang Abdul Rauf Abang Zen serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS