SICFest & Symposium 2026 Melabuhkan Tirai Dengan Penganugerahan Golden Kenyalang Grand Prix
KUCHING: Sarawak International Choral Festival & Symposium (SICFest & Sym) 2026 melabuhkan tirainya dengan penuh gilang-gemilang menerusi Majlis Penutupan dan Penyampaian Anugerah yang berlangsung di Kuching pada Ahad, sekali gus menandakan kejayaan satu lagi edisi festival koir antarabangsa yang menghimpunkan penggiat seni dari pelbagai negara.
Majlis berprestij itu diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, dalam ucapannya menegaskan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam menyokong pembangunan seni dan budaya serta penganjuran acara bertaraf antarabangsa yang mampu menyumbang kepada pembangunan pelancongan, pertukaran budaya dan pembangunan bakat.
Sementara itu, pihak penganjur memaklumkan bahawa festival tahun ini berjaya menghimpunkan lebih 1,200 peserta berdaftar yang terdiri daripada delegasi, juri, konduktor dan kumpulan koir dari enam negara iaitu Amerika Syarikat, Thailand, Singapura, Filipina, Indonesia dan Malaysia.
Festival tersebut terus memainkan peranan penting dalam mempromosikan kecemerlangan seni, pendidikan muzik, persefahaman antara budaya serta persahabatan antarabangsa melalui bahasa universal muzik.
Para hadirin turut disajikan dengan persembahan khas oleh KCS Festival Choir yang menghimpunkan penyanyi daripada pelbagai latar belakang, umur, etnik dan negara, melambangkan semangat perpaduan yang menjadi teras penganjuran festival berkenaan.
Kemuncak majlis menyaksikan perarakan Trofi SICFest Golden Kenyalang Grand Prix, simbol penghormatan tertinggi festival tersebut, yang menjadi tumpuan utama apabila tujuh kumpulan koir terbaik dari Malaysia, Indonesia dan Filipina berjaya mara ke peringkat akhir selepas mempamerkan persembahan cemerlang serta tahap kesenian yang tinggi sepanjang festival berlangsung.
Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil kepada semua finalis sebelum trofi SICFest Golden Kenyalang Grand Prix disampaikan kepada juara keseluruhan yang berjaya memukau panel juri antarabangsa menerusi persembahan luar biasa mereka.
Penutupan rasmi SICFest & Sym 2026 sekali lagi membuktikan keupayaan muzik sebagai medium yang menyatukan masyarakat merentasi budaya, bahasa dan sempadan negara, di samping memperkukuhkan kedudukan Sarawak sebagai destinasi utama bagi pertukaran budaya dan kolaborasi seni di peringkat antarabangsa.-EDISI UKAS