Sarawak Teroka Pembangunan Industri Berteknologi Tinggi Bersama Jerman
JERMAN: Sarawak terus memperkukuh kerjasama strategik antarabangsa dalam bidang kecerdasan buatan (AI), semikonduktor dan teknologi pengkomputeran hijau menerusi sesi libat urus teknikal bersama pakar teknologi terkemuka dari Bavaria, Jerman.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel mengetuai delegasi kerajaan negeri mengadakan pertemuan bersama Pengerusi Reka Bentuk Pemproses AI (AI-Pro) dan Pengarah Pengasas Munich Centre of Advanced Technology and AI Chips (MACHT-AI), Profesor Dr Hussam Amrouch yang berlangsung di Siemens Technology Center Garching, Jerman pada Isnin.
Menurut Dato Sri Dr Muhammad Abdullah, kerjasama tersebut membuka peluang kepada Sarawak untuk meneroka pembangunan industri berteknologi tinggi yang mampu menyokong agenda transformasi ekonomi negeri, khususnya dalam bidang AI, semikonduktor dan infrastruktur digital mampan berasaskan tenaga boleh diperbaharui.
Perbincangan katanya memberi tumpuan kepada potensi kerjasama dalam pembangunan AI, inovasi semikonduktor, pengkomputeran termaju serta penerokaan teknologi generasi baharu yang mampu memperkukuh ekosistem digital Sarawak.
Dalam sesi tersebut, Profesor Dr Hussam menjelaskan bahawa kepakaran Bavaria dalam reka bentuk cip AI dan teknologi canggih berpotensi melengkapi kelebihan yang dimiliki Sarawak, khususnya dari segi sumber tenaga boleh diperbaharui dan komitmen terhadap pembangunan mampan.
Beliau turut berkongsi usaha Kerajaan Bavaria dan Kesatuan Eropah (EU) dalam membangunkan ekosistem AI berdaulat bagi memastikan kemajuan teknologi masa hadapan yang lebih berdaya saing dan selamat.
Profesor Dr Hussam juga meneliti kedudukan strategik Sarawak dalam pembangunan industri semikonduktor dan mikroelektronik serta menyifatkan sektor tersebut sebagai antara bidang yang mempunyai prospek kerjasama yang signifikan.
Antara peluang kerjasama yang dibincangkan termasuk pembangunan AI neutral karbon melalui penggunaan tenaga boleh diperbaharui, AI sumber terbuka, AI hijau, pembangunan cip AI, inovasi semikonduktor termaju dan teknologi pengkomputeran generasi baharu.
Sesi libat urus tersebut mencerminkan komitmen berterusan Sarawak untuk memperkukuh kedudukannya sebagai rakan strategik dalam ekosistem teknologi global dengan memanfaatkan kelebihan tenaga hijau, memperkasakan inovasi serta meneroka peluang dalam industri bernilai tinggi sejajar dengan agenda pembangunan ekonomi masa depan negeri.- EDISI UKAS