PAC Perkukuh Pemantauan Projek Infrastruktur Melalui Lawatan Tapak di Kapit
KAPIT: Jawatankuasa Akaun Awam Negeri Sarawak (PAC) memperkukuh peranannya dalam memantau pelaksanaan projek pembangunan negeri menerusi lawatan tapak ke Projek Jalan Akses Empangan Hidro Baleh di Bahagian Kapit.
Lawatan pada Selasa yang diketuai Pengerusi PAC Sarawak, Dato Razaili Gapor itu bertujuan meninjau serta menilai secara langsung kemajuan pelaksanaan projek infrastruktur strategik yang menjadi antara pemangkin pembangunan di kawasan pedalaman Sarawak.
Sepanjang lawatan tersebut, delegasi PAC Sarawak diberikan taklimat mengenai status semasa projek oleh Penolong Jurutera Bahagian, Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Kapit, Ir. Ts. Christopher Donovan Durin Ajoi.
Taklimat berkenaan merangkumi perkembangan pelaksanaan projek, kemajuan fizikal kerja serta cabaran yang dihadapi bagi memastikan projek dapat disiapkan mengikut perancangan yang ditetapkan.
Selain itu, satu sesi perbincangan turut diadakan bagi membolehkan ahli-ahli PAC mendapatkan maklumat dan maklum balas secara langsung daripada agensi pelaksana berhubung status serta pelaksanaan projek tersebut.
Lawatan tapak berkenaan mencerminkan komitmen PAC Sarawak dalam memastikan projek-projek pembangunan negeri dilaksanakan secara cekap, berkesan dan telus demi memberi manfaat optimum kepada rakyat.
Turut serta dalam lawatan tapak tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir, ADUN Batu Kitang, Dato Ir. Lo Khere Chiang, ADUN Meluan, Dato Rolland Duat Jubin, ADUN Pelagus, Wilson Nyabong Ijang, Pengarah Kerja Raya Sarawak, Datu Dr. Cassidy Morris, Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD), Datu Chiew Chee Yau, Setiausaha PAC Sarawak, Nur Azhar Bujang serta tetamu lain.-EDISI UKAS