Integriti Kunci Sarawak Mampu Ambil Alih Pelabuhan Bintulu
SIBU: Keupayaan Kerajaan Sarawak membayar RM1.8 bilion bagi mengambil alih pengurusan Pelabuhan Bintulu daripada Kerajaan Persekutuan membuktikan kekuatan tadbir urus, integriti dan pengurusan kewangan negeri yang berada pada tahap terbaik.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya berkata, kejayaan Sarawak memperoleh semula aset strategik tersebut bukan sahaja mencerminkan kedudukan kewangan negeri yang kukuh, malah membuktikan keberkesanan amalan akauntabiliti dan pengurusan dana awam yang telus.
Menurut beliau, kemampuan kerajaan negeri menyediakan dana berjumlah RM1.8 bilion bagi tujuan tersebut lahir daripada budaya integriti yang diterapkan dalam pentadbiran dan pengurusan kewangan negeri sejak sekian lama.
“Dua atau tiga hari lepas, penyerahan pelabuhan yang diterajui oleh Perdana Menteri kepada Kerajaan Sarawak, di mana Kerajaan Sarawak membayar RM1.8 bilion, satu jumlah yang amat besar sebenarnya.
“Apa sebab kita mampu membayar? Kerana kita mempunyai integriti, kerana kita mempunyai pengurusan kewangan yang terbaik. Kita ada akauntabiliti.
“Kita mempunyai wang dan kita tidak takut orang memeriksa akaun kita, ke mana duit dibelanjakan dan bagaimana wang itu diuruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kursus Modul Integriti Kepimpinan Masyarakat (MIKM) Tahap 2 Siri 8 dan Tahap 3 Siri 2 bagi Zon Tengah Tahun 2026 pada Selasa.
Datuk Dr Juanda menambah, integriti merupakan asas utama kepada kejayaan pembangunan sesebuah negeri kerana kemajuan ekonomi dan kekayaan tidak akan memberi manfaat sekiranya tidak disokong oleh kepimpinan yang amanah serta bertanggungjawab.
Sehubungan itu, beliau menyeru Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) agar turut menghayati dan mengamalkan nilai integriti dalam melaksanakan tanggungjawab di peringkat akar umbi, selari dengan usaha Kerajaan Sarawak memacu pembangunan menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Menurutnya, kegagalan memahami serta mengamalkan budaya integriti boleh mengakibatkan ketirisan, penyalahgunaan peruntukan dan kelemahan tadbir urus yang akhirnya memberi kesan kepada kesejahteraan rakyat.
Jelas beliau, program seperti MIKM amat penting dalam memperkukuh kefahaman mengenai pentadbiran yang telus, berakauntabiliti dan beretika dalam kalangan pemimpin masyarakat.
Sehingga kini, program berkenaan telah melibatkan kira-kira 1,400 peserta dari 15 daerah di seluruh Sarawak, sekali gus menjadi platform penting dalam memperluas budaya integriti di peringkat komuniti.
Hadir sama ADUN Bukit Assek Joseph Chieng Jin Ek, wakil Pengarah Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak di Jabatan Premier Sarawak Wan Hipni Wan Mohamad, Pengarah Pusat Pembangunan Integriti Komuniti Institut Integriti Malaysia Zarina Mohamad Amin, Timbalan Residen Bahagian Sarikei Shafrie Saili, wakil Pegawai Daerah Sibu Cynthia Ong Hshiang Ping, wakil Pegawai Daerah Pakan Watson Manggat Keley, wakil Pegawai Daerah Matu Harlina Mahiji serta Temenggong Stanley Geramong Bandar.-EDISI UKAS