PETRONAS Perkukuh Pendidikan Luar Bandar, Salur 900 Aset Asrama Kepada SMK Pusa
PUSA: Petroleum Nasional Berhad (PETRONAS) menerusi syarikat pengeluar Gas Asli Cecair (LNG) Malaysia memperkukuh komitmennya terhadap pembangunan pendidikan luar bandar apabila menyalurkan 900 aset asrama kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusa bagi meningkatkan keselesaan dan kebajikan pelajar yang menetap di asrama.
Sumbangan menerusi Program Jangkauan Luar MLNG Bestari itu melibatkan 300 unit katil, 300 unit tilam dan 300 unit loker yang dijangka memberi manfaat langsung kepada pelajar serta membantu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata kemudahan asrama yang berkualiti memainkan peranan penting dalam menyokong kecemerlangan akademik pelajar terutama mereka yang berasal dari kawasan luar bandar.
Katanya, persekitaran asrama yang selesa, bersih dan selamat bukan sahaja menggalakkan pelajar untuk tinggal di asrama, malah membolehkan mereka memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembelajaran.
Beliau berkata demikian pada Program Jangkauan Luar MLNG Bestari di SMK Pusa, pada Selasa.
Datuk Dr Annuar turut merakamkan penghargaan kepada PETRONAS dan MLNG atas sokongan berterusan terhadap pembangunan pendidikan Sarawak melalui penyediaan kemudahan yang memberi manfaat secara langsung kepada pelajar.
Menurutnya, pendidikan merupakan asas utama dalam melahirkan modal insan berkualiti dan kerjasama strategik antara kerajaan, institusi pendidikan serta sektor korporat perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan anak-anak Sarawak mendapat akses pendidikan yang terbaik.
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Malaysia LNG, Abang Jimmy Abang Mordian berkata inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) PETRONAS dalam menyokong agenda pembangunan pendidikan negara, khususnya di kawasan luar bandar.
Menurut beliau, penyediaan kemudahan asrama yang lebih selesa dan teratur mampu meningkatkan motivasi pelajar serta mewujudkan suasana yang lebih kondusif untuk pembelajaran.
Dalam pada itu, Pengetua SMK Pusa, Saini Bakar menyifatkan sumbangan tersebut sebagai pemangkin kepada usaha sekolah meningkatkan kesejahteraan pelajar asrama dan mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih kondusif.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada PETRONAS melalui MLNG atas keprihatinan terhadap keperluan sekolah serta komitmen berterusan membantu memperkasakan pendidikan di kawasan luar bandar.
Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datu Adana Jed dan Pemanca Daerah Pusa Rosli Uji.-EDISI UKAS