M-FICORD Percepat Transformasi Agro Berasaskan Hasil, Inovasi & AI
KUCHING: Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) komited dalam mempergiat usaha mentransformasikan sektor agro negeri melalui pendekatan berasaskan hasil, inovasi dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi memperkukuh daya saing industri makanan serta komoditi Sarawak.
Menterinya, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, budaya kerja secara rutin atau business as usual tidak lagi memadai dalam mendepani cabaran pembangunan sektor agro yang semakin kompleks dan kompetitif.
Menurut beliau, setiap perancangan dan program yang dilaksanakan perlu memberi tumpuan kepada pencapaian hasil yang jelas, terukur dan memberi impak langsung kepada pembangunan industri pertanian serta makanan negeri.
“Apabila kita merancang sesuatu, ia bukan sekadar untuk merancang. Pada akhirnya, hasil yang dicapai adalah perkara paling penting. Jika sasaran tidak dapat dicapai, kita perlu menilai semula dan melakukan penambahbaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Gala dan Penyampaian Anugerah Inovasi sempena Mini Konvensyen Innovative and Creative Circle (ICC) Peringkat M-FICORD 2026 pada Selasa.
Tambah beliau, inovasi dan kreativiti perlu menjadi budaya kerja seluruh warga kementerian serta agensi di bawah M-FICORD bagi memastikan sektor agro Sarawak terus berkembang selari dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Sehubungan itu, beliau menggesa setiap jabatan dan agensi di bawah kementerian memanfaatkan teknologi baharu termasuk AI bagi meningkatkan kecekapan operasi, produktiviti serta penyampaian perkhidmatan.
“Penambahbaikan hanya dapat dilihat melalui hasil. Untuk menghasilkan keputusan yang lebih baik, kita perlu menyesuaikan dan mengadaptasi teknologi baharu. Itulah satu-satunya cara,” tegas beliau.
Menurutnya, sektor agro Sarawak perlu bergerak ke arah pertanian pintar, pembangunan agropark dan pelaksanaan konsep ekonomi kitaran bagi meningkatkan produktiviti serta nilai tambah industri.
Pada masa sama, beliau menekankan kepentingan memastikan produk tempatan mempunyai standard kualiti yang konsisten, lestari dan berdaya saing di pasaran global melalui penyelidikan serta pengkomersialan produk berasaskan sumber tempatan.
Beliau turut menyeru agar hasil penyelidikan yang dilaksanakan oleh institusi dan agensi berkaitan dapat diterjemahkan kepada produk komersial bernilai tinggi yang mampu menembusi pasaran antarabangsa.
Dalam pada itu, Dato Sri Dr Stephen Rundi menegaskan kejayaan agenda transformasi agro Sarawak bergantung kepada kekuatan kerja berpasukan, kecekapan pelaksanaan serta budaya kerja yang berteraskan rasa tanggungjawab dan sense of urgency dalam kalangan warga kementerian.
Mini Konvensyen ICC M-FICORD 2026 menghimpunkan sembilan kumpulan inovasi yang bersaing untuk dipilih mewakili kementerian ke peringkat seterusnya, sekali gus menjadi platform memperkukuh budaya inovasi dan penambahbaikan berterusan dalam organisasi.
Ia menyaksikan Jabatan Pertanian Sarawak muncul juara menerusi projek inovasi yang berjaya memenuhi kriteria penilaian terbaik, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500. Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS) meraih tempat kedua dengan hadiah RM1,300, manakala tempat ketiga turut menjadi milik DVSS yang menerima RM1,000.
Kejayaan tersebut mencerminkan komitmen berterusan agensi di bawah M-FICORD dalam memperkukuh budaya inovasi dan penambahbaikan berterusan bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta menyokong agenda transformasi sektor agro Sarawak.
Hadir sama Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (Industri Makanan) Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (Komoditi dan Pembangunan Wilayah) Datuk Martin Ben, Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datu Sirai Daha dan Timbalan Setiausaha Tetap M-FICORD Sayed Ismail Nasiruddin Dato Sri Wan Hashim. - EDISI UKAS