Sarawak Digital Champion Bantu Usahawan Samarahan Kuasai Teknologi Digital
KOTA SAMARAHAN: Program Sarawak Digital Champion menjadi platform bagi memperkasa usahawan tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), melalui pendedahan kepada kemahiran serta teknologi digital yang relevan dengan keperluan perniagaan masa kini.
Program yang ditaja sepenuhnya oleh Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) dengan kerjasama Angkatan Zaman Mansang sebagai rakan penyampaian itu dianjurkan pada 13 Jun lalu di NADI Kampung Tanjung Bundung.
Ia memberi manfaat kepada usahawan sedia ada serta individu yang berhasrat memulakan perniagaan dengan memanfaatkan platform dan teknologi digital.
Sepanjang program, para peserta didedahkan dengan pelbagai modul praktikal termasuk penggunaan WhatsApp Business, pengurusan Facebook Page, teknik fotografi menggunakan telefon pintar, penggunaan alat kecerdasan buatan (AI), serta aplikasi agen digital dalam pengurusan dan pemasaran perniagaan.
Jurulatih program, Ts. Mohd Khairulazwan Sulaiman, yang juga merupakan Jurutera Perisian di CAG Tech Sdn. Bhd., berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam membantu perniagaan beralih ke arah pendigitalan, selain memanfaatkan ilmu keusahawanan yang dipelajarinya daripada usahawan tempatan berjaya, Aiman Abdul Hamid.
Penganjuran program ini diharap dapat memastikan lebih ramai masyarakat di kawasan Samarahan tidak ketinggalan dalam arus transformasi digital, sekali gus meningkatkan daya saing dan keupayaan mereka untuk mengembangkan perniagaan melalui penggunaan teknologi.
Orang ramai yang berminat untuk menyertai program-program seterusnya yang akan berlangsung dari April hingga September boleh menghubungi NADI Kampung Tanjung Bundung, Kota Samarahan atau mengikuti media sosial rasmi NADI bagi mendapatkan maklumat terkini.-EDISI UKAS