Kerjasama ASEAN-EU Melalui Sarawak Pacu Inovasi Teknologi, Ekonomi Mampan
JERMAN: Kerjasama strategik antara ASEAN dan Kesatuan Eropah (EU), khususnya melalui Sarawak, mampu menghasilkan impak besar dalam memajukan inovasi, penerimaan teknologi serta pertumbuhan ekonomi mampan.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel berkata, Sarawak kini sedang melaksanakan transformasi ke arah ekonomi bernilai tinggi menerusi pembangunan strategik dalam sektor utama.
“Ini termasuk ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) serta tenaga boleh diperbaharui,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan khas semasa Sesi Pertukaran Pakar Peringkat Tinggi dan Perbincangan Meja Bulat antara Malaysia dan EU mengenai Piawaian Kedaulatan Digital dan Kecerdasan Buatan (AI) di bawah Dialog ASEAN-EU yang berlangsung di Berlin, Jerman, pada Selasa.
Terdahulu, Pengarah Perwakilan Negeri Schleswig-Holstein kepada Kerajaan Persekutuan Jerman, Udo Bunnagel semasa berucap menekankan transformasi pesat dunia daripada sistem tradisional berasaskan mesin taip dan dokumen fizikal ke arah era digital dipacu teknologi awan.
Beliau berkata, AI memberikan peluang yang signifikan untuk pentadbiran awam dengan memudahkan proses, meningkatkan kecekapan dan mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan awam.
Walau bagaimanapun, beliau juga menyatakan kepentingan memperkukuh kedaulatan digital, yang memerlukan kerjasama strategik untuk membangunkan keupayaan AI yang dipercayai dan inklusif.
Sesi tersebut menghimpunkan wakil kerajaan, ahli akademik dan pemain industri bagi membincangkan masa depan tadbir urus AI, strategi kedaulatan digital serta peluang kerjasama antara Asia dan Eropah dalam membangunkan ekosistem AI yang dipercayai, selamat dan mampan.
Perbincangan meja bulat itu turut meneroka bidang kerjasama utama termasuk pendekatan bersama Asia dan Eropah terhadap strategi kedaulatan digital dan AI, pembangunan hidrogen, infrastruktur pusat data yang mampan dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar, penubuhan Hab AI Agentik serta kerjasama dalam penyelidikan, inovasi dan dasar.
Program berkenaan turut menjadi platform penting dalam memperkukuh komitmen semua pihak terhadap pembangunan AI yang bertanggungjawab serta meningkatkan kerjasama antarabangsa dalam membentuk landskap digital global pada masa hadapan.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Dasar Digital, Kementerian Hal Ehwal Digital dan Pemodenan Negeri Jerman, Frank Kruger, Kaunselor Kedutaan Malaysia di Berlin, Rozaime Mohamed Desa, Presiden ASEAN Business Club, Tan Sri Dr Munir Majid, Pengurus Besar Sarawak Multimedia Authority, Dato Dr Anderson Tiong, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS), Busiai Seman serta Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Artificial Intelligence Centre Sdn Bhd, Profesor Dr Patrick Then.-EDISI UKAS