Infrastruktur Pantu Benevolent Society Bakal Dinaik Taraf
PANTU: Bangunan Pantu Benevolent Society bakal menerima projek naik taraf infrastruktur bernilai kira-kira RM200,000 menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang 2027, sekali gus meningkatkan keselesaan dan keselamatan komuniti setempat.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis berkata, projek tersebut melibatkan kerja menaik taraf kawasan tempat letak kenderaan serta pemasangan lampu jalan berkuasa solar dari simpang jalan utama Pantu hingga ke bangunan Pantu Benevolent Society.
Menurut beliau, projek berkenaan kini menunggu kelulusan di bawah RTP DUN Simanggang 2027, namun pelaksanaannya berpotensi dimulakan lebih awal sekiranya masih terdapat baki peruntukan RTP 2026.
“Projek ini masih menunggu kelulusan RTP 2027. Bagaimanapun, jika masih ada baki peruntukan RTP 2026, kita akan berusaha melaksanakannya seawal penghujung tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke tapak bangunan persatuan pada Selasa.
Datuk Francis berkata, penyediaan kawasan parkir yang lebih sistematik dan pemasangan lampu jalan solar akan memberi manfaat kepada penduduk yang menggunakan kemudahan Pantu Benevolent Society, selain meningkatkan tahap keselamatan pengguna terutama pada waktu malam.
Beliau turut menegaskan bahawa menjadi tanggungjawab setiap wakil rakyat Kerajaan Sarawak untuk mendengar serta meneliti keperluan pembangunan yang dibangkitkan rakyat, selagi ia memberi manfaat kepada komuniti.
Tambah beliau, pelaksanaan projek tersebut selaras dengan matlamat RTP yang memberi penekanan kepada penyediaan infrastruktur asas berkualiti di kawasan luar bandar agar pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh.
Beliau berharap projek itu dapat dilaksanakan secepat mungkin bagi mengatasi masalah kekurangan tempat letak kenderaan, mempertingkat aspek keselamatan serta memperkukuh fungsi Pantu Benevolent Society sebagai pusat aktiviti dan kebajikan masyarakat setempat.— EDISI UKAS