Program GENDERate Change@Workplace Perkasa Kesedaran, Pemahaman Isu Gender di Sarawak
MIRI: Program Kepekaan Gender: GENDERate Change@Workplace 2026 menjadi platform penting dalam memperkukuh kesedaran dan kefahaman berkaitan isu gender dalam kalangan pelbagai pihak di Sarawak.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ia antara inisiatif kerajaan negeri dalam memperkasa agenda kesaksamaan gender serta memperkukuh persekitaran kerja yang lebih selamat, profesional dan bebas diskriminasi di semua peringkat masyarakat.
“Pada peringkat awal, program ini menyasarkan penyertaan pelbagai pihak sebelum diperluaskan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada masa akan datang bagi memperluas impak pelaksanaannya.
“Untuk tahun ini, pelaksanaan program melibatkan tiga lokasi utama iaitu Miri, Sibu dan Kuching bagi memastikan capaian yang lebih menyeluruh kepada kumpulan sasar,” katanya.
Mewakili beliau dalam program diadakan di Miri pada Khamis itu ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Rosey Yunus.
Ujarnya, program anjuran Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) tersebut menghimpunkan seramai 52 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan negeri dan Persekutuan yang berlangsung pada 25 hingga 26 Jun 2026.
“Penganjuran program ini selaras dengan komitmen kerajaan dalam memperkasa wanita, melestarikan institusi keluarga serta memperkukuh kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh melalui pendekatan yang inklusif,”katanya.
Dalam perkembangan berkaitan katanya, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Jabatan Perangkaan Malaysia mencatat peningkatan Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) kepada 0.708 pada tahun 2024 berbanding 0.705 pada tahun sebelumnya, mencerminkan perkembangan positif dalam agenda pemerkasaan wanita di negara ini.
“Bagaimanapun, jurang dalam aspek penguasaan politik masih ketara dengan skor 0.096, sekali gus menuntut usaha berterusan bagi memperkukuh penyertaan wanita dalam proses membuat keputusan di semua peringkat.
“Sehubungan itu, kerajaan negeri akan terus mempergiat pelbagai inisiatif pembangunan kapasiti dan kepimpinan wanita bagi memastikan golongan wanita bukan sahaja menjadi peserta pembangunan, tetapi turut berperanan sebagai pemimpin dan pembuat dasar pada masa hadapan,” katanya.
Pada majlis yang sama Datuk Rosey turut menyampaikan Bantuan Ketua Isi Rumah Wanita Sarawak (KIRWaS) kepada lapan penerima dan Geran Pemerkasaan NGO Wanita kepada tiga wakil persatuan.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak, Sharifah Zakiah Tuanku Pauzi dan ketua-ketua jabatan dan ketua masyarakat di Miri. -EDISI UKAS