PAC Sarawak Perkukuh Pemantauan Projek Strategik Jalan Akses Empangan Hidro Baleh
KAPIT: Jawatankuasa Akaun Awam Sarawak (PAC) memperkukuh fungsi semak dan imbang terhadap pelaksanaan projek pembangunan strategik negeri menerusi lawatan tapak ke Projek Jalan Akses Empangan Hidro Baleh di Bahagian Kapit pada Rabu.
Lawatan yang diketuai Pengerusi PAC Sarawak, Dato Razaili Gapor itu bertujuan menilai kemajuan pelaksanaan projek secara langsung bagi memastikan ia dilaksanakan mengikut skop, jadual dan perancangan yang ditetapkan, sekali gus menjamin pengurusan peruntukan awam yang cekap, telus dan berakauntabiliti.
Sepanjang lawatan tersebut, delegasi PAC Sarawak diberikan taklimat mengenai status semasa projek oleh Penolong Jurutera Bahagian, Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Kapit, Ir. Ts. Christopher Donovan Durin Ajoi.
Taklimat berkenaan merangkumi perkembangan pelaksanaan projek, kemajuan fizikal semasa, selain cabaran teknikal dan operasi yang dihadapi bagi memastikan projek infrastruktur strategik tersebut dapat disiapkan mengikut perancangan.
Delegasi PAC turut mengadakan sesi perbincangan bersama agensi pelaksana bagi mendapatkan penjelasan serta maklum balas secara langsung mengenai pelaksanaan projek, termasuk langkah penyelarasan yang diambil bagi memastikan setiap fasa pembinaan berjalan lancar.
Lawatan tapak itu mencerminkan komitmen berterusan PAC Sarawak dalam memperkukuh tadbir urus dan akauntabiliti pelaksanaan projek pembangunan negeri, selain memastikan setiap projek yang dibiayai kerajaan memberi manfaat optimum kepada rakyat serta menyokong agenda pembangunan Sarawak.
Turut menyertai lawatan tersebut ialah Ahli PAC Sarawak Dato Mohd Chee Kadir, Dato Ir. Lo Khere Chiang, Dato Rolland Duat Jubin, See Chee How dan Wilson Nyabong Ijang.
Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD), Datu Chiew Chee Yau, Pengarah Kerja Raya Sarawak, Datu Dr. Cassidy Morris, wakil Regional Corridor Development Authority (RECODA), ahli-ahli Ex-Officio PAC Sarawak, wakil Jabatan Audit Negara serta Setiausaha PAC Sarawak, Nur Azhar Bujang.-EDISI UKAS