KUCHING: Kuching mencipta sejarah apabila berjaya memenangi bidaan untuk menjadi tuan rumah Interhash 2028, sekali gus meletakkan Sarawak sebagai destinasi pilihan bagi salah satu acara hashing antarabangsa terbesar dan paling berprestij di dunia.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, 'Interhash 2028' merupakan perhimpunan utama komuniti 'Hash House Harriers' yang diadakan setiap dua tahun dan menghimpunkan ribuan ahli hash dari lebih 50 negara serta lebih 450 cawangan hash di seluruh dunia.
Menurutnya, dari 14 hingga 16 Julai 2028, Kuching dijangka menerima sehingga 4,000 peserta hash dari seluruh dunia dengan empat kategori utama yang akan dipertandingkan iaitu 'Bold Breaker Run' sejauh 26 hingga 28 kilometer, Long Run sejauh tujuh hingga 10 kilometer, Medium Run sejauh lima hingga tujuh kilometer dan Short Run sejauh tiga hingga lima kilometer.
"Acara ini dijangka menjana kira-kira RM12 juta dalam bentuk resit pelancongan kepada Sarawak, sekali gus memberi sumbangan besar kepada sektor penginapan, pengangkutan, penyedia pelancongan, makanan dan minuman, peruncitan serta perusahaan berasaskan komuniti.
"Industri kraf tangan juga akan menerima manfaat kerana kebanyakan pelawat pasti mahu membawa pulang cenderamata seperti bakul, manik dan produk tempatan sebagai kenangan dari Kuching dan Sarawak," katanya dalam sidang media 'Interhash' di Bangunan Baitulmakmur 2 pada Khamis.
Tambahnya, sepanjang dua tahun akan datang, Jawatankuasa Penganjur Interhash 2028 yang diketuai oleh Kuching City Hash Club akan melaksanakan kempen promosi antarabangsa secara meluas menerusi acara hash utama dan siri jelajah promosi di seluruh dunia.
Ujarnya, usaha ini akan meletakkan Sarawak di hadapan ribuan pelawat berpotensi serta mengukuhkan reputasi negeri ini sebagai destinasi pelancongan budaya dan pengembaraan utama di Asia Tenggara.
Selain itu, Dato Sri Abdul Karim memberitahu, 'Interhash' turut menampilkan elemen kebajikan menerusi penganjuran Red Dress Charity Run yang diadakan sehari sebelum acara utama dengan semua hasil kutipan daripada program tersebut akan disalurkan terus kepada badan kebajikan tempatan.
Mengulas mengenai aspek keselamatan Dato Sri Abdul Karim menegaskan semua penganjur acara perlu memikul tanggungjawab besar dalam memastikan keselamatan peserta sentiasa terjamin.
Menurutnya lagi, minat masyarakat terhadap aktiviti larian di Sarawak semakin meningkat, sama ada maraton, larian rekreasi mahupun acara hash, namun aspek keselamatan tidak boleh dipandang ringan.
"Kenal pasti di mana laluan-laluan yang digunakan dan sebagainya. Mereka yang ingin mendaki juga mesti mendaftarkan diri terlebih dahulu.
"Ini terutamanya bagi aktiviti pendakian gunung atau trekking di dalam hutan yang boleh menyebabkan seseorang tersesat atau hilang.
"Tetapi jika larian itu diadakan di atas jalan raya dalam bandar, saya rasa perkara seperti itu tidak akan berlaku namun semua penganjur perlu bertanggungjawab untuk memastikan sebarang insiden yang tidak diingini tidak berlaku kepada para peserta yang datang menyertai acara tersebut," tegasnya.
Tegasnya, penggunaan pasukan penyapu (sweeper) sahaja tidak mencukupi, sebaliknya perlu ada mekanisme pemantauan yang lebih menyeluruh termasuk pemeriksaan berkala di sepanjang laluan bagi memastikan setiap peserta dapat dikesan sepanjang acara berlangsung.
Baginya, keselamatan pelawat dan peserta yang datang ke Sarawak merupakan tanggungjawab bersama yang perlu diberi keutamaan oleh semua pihak terlibat.
Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Morshidi Frederick, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Business Event Sarawak Jason Tan Chin Foo serta Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penganjur Interhash 2028 Robin Kho dan Chris Chai. -EDISI UKAS