Program Sarawakku Sayang Platform Atasi Masalah Rakyat Di Lapangan
KAPIT: Program Sarawakku Sayang (SKS) terus menjadi landasan utama Kerajaan Sarawak dalam mendekatkan jentera pentadbiran dengan masyarakat dan berfungsi sebagai platform bagi menyelesaikan sebarang isu rakyat secara terus di lapangan.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata penganjuran program tersebut membolehkan kementerian, jabatan, dan agensi kerajaan yang berkenaan melihat serta mendengar sendiri suara hati atau masalah yang dihadapi oleh penduduk setempat.
Beliau menegaskan, sekiranya terdapat sebarang isu yang dibangkitkan oleh masyarakat sepanjang program berlangsung, usaha penyelesaian akan diambil dengan kadar segera di lokasi pameran tersebut.
"Kita mengadakan program Sarawakku Sayang ini untuk mendekatkan kerajaan kepada rakyat supaya jabatan-jabatan kerajaan, kementerian dan juga agensi-agensi yang berkenaan dapat melihat ataupun mendengar sendiri naluri ataupun perasaan rakyat di lapangan.
"Seterusnya (ia) dapat membantu jika ada apa-apa masalah yang mereka hadapi dan sebagainya. Kalau dapat kita selesaikan, kita selesaikan di tempat di mana kita mengadakan pameran," katanya ketika ditemui media semasa menyertai Program Menyelusuri Sungai Batang Rajang dari Jeti Kanowit ke Kapit pada Khamis.
Kapit merupakan destinasi keempat bagi siri jelajah program SKS selepas Limbang, Miri dan Bintulu.
Program tiga hari itu akan bermula pada hari Jumaat hingga Ahad ini dengan majlis perasmiannya dijadualkan berlangsung pada Sabtu yang akan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Datuk Amar Mohamad Abu Bakar menjelaskan bahawa beliau sengaja memilih untuk menggunakan kemudahan laluan sungai bersama-sama ketua jabatan untuk merasai dan melihat sendiri keadaan Sungai Rajang serta penempatan penduduk di pesisir air.
“Alhamdulillah, kita lihat sekarang perjalanan dari Sibu ke Kapit dapat mengambil masa yang jauh lebih singkat dengan menggunakan jalan darat.
“Pada masa yang sama, kita juga melihat penempatan-penempatan di tepi sungai turut dapat menikmati kemudahan-kemudahan yang telah disediakan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru penduduk di kawasan berdekatan termasuk dari Sibu, Kanowit, Song, Belaga dan sehingga ke Kapit untuk hadir beramai-ramai bagi memeriahkan program berkenaan yang menyediakan pelbagai aktiviti interaktif bersama ketua jabatan.
Selain kaunter pameran dan acara cabutan bertuah, program itu turut menyediakan pengisian khusus untuk golongan muda termasuk ruang menyemak peluang melanjutkan pengajian bagi lepasan SPM dan STPM, serta penyediaan kaunter 'JobSarawak' bagi pencari kerja.
Program SKS Kapit juga bakal diserikan dengan acara hiburan menerusi Konsert Rakyat pada malam Sabtu yang menampilkan artis Baby Shima, selain Malam Budaya yang akan diserikan oleh penyanyi tempatan.
Turut serta dalam program itu ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Felicia Tan Ya Hua, Residen Bahagian Kapit Elvis Didit serta ketua-ketua Jabatan dan agensi lain.- EDISI UKAS