Vendor SFCF 2026 Diberi Taklimat Awal, MPKS Tekan Aspek Kebersihan & Pematuhan Peraturan
KOTA SAMARAHAN: Pematuhan terhadap aspek kebersihan, keselamatan makanan dan peraturan yang ditetapkan menjadi faktor penting dalam memastikan penganjuran Samarahan Food & Cultural Festival (SFCF) 2026 berjalan lancar, selamat dan memberi pengalaman terbaik kepada pengunjung.
Pengerusi Perbandaran Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Kaunselor Abang Ismawi Abang Ali berkata, semua penjaja dan vendor yang terlibat perlu mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan bagi menjamin kesejahteraan pengunjung serta mengekalkan reputasi baik festival berkenaan.
“Aspek kebersihan dan keselamatan makanan perlu diberi perhatian serius oleh semua pengusaha makanan bagi menjamin kesejahteraan pengunjung serta mengekalkan reputasi baik festival,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Sesi Taklimat Penjaja/Vendor SFCF 2026 yang diadakan di Dewan Suarah Kota Samarahan pada Rabu.
Taklimat tersebut diadakan sebagai persediaan akhir menjelang pembukaan SFCF 2026 yang dijadual berlangsung dari 26 Jun hingga 5 Julai ini.
Sesi berkenaan bertujuan memberi penerangan menyeluruh kepada para penjaja dan vendor mengenai aspek kebersihan, keselamatan makanan, kawalan harga serta pematuhan terhadap syarat dan peraturan yang ditetapkan sepanjang festival berlangsung.
Antara pengisian utama taklimat ialah penerangan berkaitan Kebersihan dan Keselamatan Penyediaan Makanan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Samarahan, Kawalan Harga Jualan Barangan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kebersihan dan Kelestarian Persekitaran oleh MPKS.
Melalui sesi tersebut, para penjaja dan vendor turut diberi penjelasan mengenai tanggungjawab masing-masing dalam memastikan operasi perniagaan berjalan mengikut syarat serta piawaian yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Penganjuran taklimat ini mencerminkan komitmen MPKS dalam memastikan SFCF 2026 bukan sahaja berjaya dari aspek penganjuran, malah mampu memperkukuhkan imej Kota Samarahan sebagai destinasi pelancongan makanan dan budaya yang bersih, selamat serta berkualiti.
SFCF 2026 dijangka menjadi antara acara terbesar di Samarahan tahun ini dengan pelbagai aktiviti kebudayaan, keusahawanan, sukan dan hiburan yang bakal menarik kehadiran ribuan pengunjung dari seluruh Sarawak serta luar negeri.-EDISI UKAS