Perancis Sokong Visi Sarawak Jadi Hab Peralihan Tenaga, Teknologi Bersih
KUCHING: Perancis menyatakan komitmennya untuk menyokong usaha Sarawak dalam memanfaatkan sumber semula jadi negeri ini bagi membangunkan hab peralihan tenaga dan teknologi bersih yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Duta Besar Perancis ke Malaysia Marc Abensour berkata, lawatan beliau ke Sarawak buat kali kedua dalam tempoh kurang enam bulan mencerminkan kepentingan negeri ini kepada Kerajaan Perancis.
“Kami memahami sepenuhnya visi strategik yang digariskan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg untuk memanfaatkan sumber asli tempatan bagi menjadikan Sarawak sebagai hab peralihan tenaga dan hab teknologi bersih. Ia merupakan satu visi yang bercita-cita tinggi dan kami mahu menyokongnya secara proaktif,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, pada Khamis.
Menurut Marc, pertemuan dengan Datuk Patinggi Abang Zohari merangkumi pelbagai bidang kerjasama yang berpotensi diperkukuh antara Perancis dan Sarawak termasuk aeronautik, kesalinghubungan udara, peralihan tenaga, hidroelektrik dan bekalan elektrik.
Ujarnya, beberapa syarikat Perancis sudah bertapak atau berminat memperluas penglibatan di Sarawak, termasuk dalam projek tenaga hidro, biometanol dan bahan api penerbangan mampan (SAF).
Selain itu, beliau berkata, kerjasama turut diteroka dalam bidang kebudayaan, pelancongan dan akademik, termasuk hubungan antara Muzium Budaya Borneo dengan musium di negara mereka, selain pertukaran seni persembahan dan promosi Sarawak di Perancis.
Marc juga berkata beliau telah melawat Kolej Universiti ICATS dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bagi meneroka kerjasama penyelidikan dan akademik dalam sektor strategik seperti aeronautik, tenaga, semikonduktor dan teknologi maju.
Turut hadir semasa kunjungan hormat berkenaan ialah Kaunselor Ekonomi Michel Cywinski, Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Negeri Dato Fenny Nuli, Naib Canselor Universiti i-CATS Datuk Prof Emeritus Ts. Dr. Mohamad Kadim Suaidi, Pengarah SACED Ir. Dr. Angelia Liew San Chuin serta Pemangku SUT MEESty Ts. Dr. Nurleyna Yunus.
Selepas kunjungan hormat tersebut, Premier Sarawak menerima kunjungan perpisahan daripada Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie sempena tamat tempoh perkhidmatan rasmi beliau.
Datu Abang Mohd Shibli telah berkhidmat sebagai Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) selama 28 tahun dan secara rasmi menamatkan perkhidmatannya pada 8 Jun lalu.-EDISI UKAS