MIRI: Penduduk di kawasan Bario, Long Banga dan Long Peluan kini menikmati akses perjalanan yang lebih selamat dan lancar susulan siapnya pembinaan Jambatan Sungai Bale jenis 'Bailey Bridge' bernilai RM2.7 juta di Ulu Baram.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala berkata, pembinaan jambatan tersebut merupakan hasil komitmen Kerajaan Sarawak dalam memastikan masyarakat di kawasan pedalaman menikmati kemudahan infrastruktur yang lebih selamat, selesa dan berdaya tahan.
“Lawatan kerja Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah bersama pegawai kanan kementerian dan Jabatan Kerja Raya (JKR) ke Bario tahun lalu menjadi titik permulaan kepada pelbagai keputusan penting yang kini sedang dilaksanakan bagi manfaat rakyat di kawasan pedalaman.
“Perjalanan sejauh lebih 370 kilometer dari Miri ke Bario melalui jalan balak mengambil masa hampir dua hari memberi gambaran jelas mengenai cabaran yang dihadapi masyarakat pedalaman serta keperluan mempertingkatkan kemudahan infrastruktur di kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Datuk Amar Douglas Uggah merasmikan Jambatan Sungai Bale di Ulu Baram, pada Rabu.
Menurutnya, jambatan keluli jenis Bailey Bridge itu memberi manfaat secara langsung kepada 19 rumah panjang serta lapan jabatan dan agensi kerajaan di kawasan Bario, selain enam rumah panjang dan kampung serta empat jabatan dan agensi kerajaan di Long Banga dan Long Peluan.
Datuk Gerawat berkata, Jambatan Sungai Bale yang siap pada Mac 2026 merupakan yang pertama daripada tiga jambatan Bailey Bridge yang dibekalkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi memenuhi keperluan mendesak di kawasan pedalaman Sarawak.
“Dua lagi ialah Jambatan Sungai Benuang di Long Jeeh kini sedang dalam pembinaan dengan kos RM1.9 juta manakala Jambatan Sungai Bunau di Long Tebangan akan dibina dengan kos RM2.2 juta,”katanya.
Menurut Datuk Gerawat, jambatan itu menjadi penghubung kepada peluang ekonomi, pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan hubungan sosial masyarakat setempat.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata lebih 20 projek penaiktarafan jalan melibatkan lebih 400 kilometer laluan telah dilaksanakan di Ulu Baram melalui RECODA dan Highland Development Agency (HDA) dengan kos melebihi RM1.2 bilion.
Selain itu, projek Jalan Miri-Marudi-Mulu-Long Panai-Long Lama bernilai lebih RM3 bilion yang sedang dilaksanakan dijangka menjadi pemangkin pembangunan serta membuka akses lebih baik kepada masyarakat di kawasan Apoh-Tutoh dan Baram.
Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datu Chiew Chee Yaw, Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya Sarawak Wisil Lichok dan Residen Bahagian Miri, Galong Luang.- EDISI UKAS