MIRI: Program MyPRIDE Fair Peringkat Zon Sarawak Tahun 2026 menjadi platform penting dalam mengetengahkan hasil kemahiran serta produk keluaran penghuni penjara, sekali gus meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memberi peluang kedua kepada golongan berkenaan.
Majlis perasmian program yang berlangsung di PermyMall pada Khamis disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Ripin Lamat.
Menurut beliau, penganjuran MyPRIDE Fair bukan sahaja memperkenalkan produk dan perkhidmatan hasil kemahiran penghuni penjara kepada masyarakat, malah berperanan sebagai medium meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap kemampuan mereka untuk berubah serta menyumbang secara positif kepada pembangunan negara.
“Pelbagai latihan kemahiran termasuk program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), industri dan keusahawanan yang dilaksanakan telah membuka peluang kepada penghuni penjara memperoleh kemahiran yang boleh dimanfaatkan apabila kembali ke dalam masyarakat.
“Sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam pembangunan usahawan, saya percaya peluang ekonomi dan keusahawanan mampu menjadi medium penting dalam membantu mereka membina kehidupan yang lebih stabil, berdikari dan berdaya saing selepas menjalani hukuman,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan proses pemulihan tidak hanya bergantung kepada institusi penjara semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan padu daripada masyarakat, sektor swasta, institusi pendidikan dan agensi kerajaan.
Sehubungan itu, beliau menyeru lebih banyak syarikat dan organisasi tampil menawarkan peluang pekerjaan, latihan serta bimbingan kepada bekas penghuni penjara agar mereka dapat kembali berfungsi sebagai anggota masyarakat yang produktif.
Dalam pada itu, beliau berharap program seumpama MyPRIDE Fair akan terus diperkasakan dan diperluaskan pada masa hadapan bagi membuka lebih banyak peluang pemasaran, jaringan perniagaan serta pembangunan keusahawanan kepada penghuni dan bekas penghuni penjara.
Antara produk yang dipamerkan termasuk songket, batik, perabot, simen fero, hasil kimpalan, pastri serta makanan sejuk beku.-EDISI UKAS