Peruntukan MRP RM594,000 Manfaat 43 Penerima di DUN Kemena
BINTULU: Seramai 43 penerima di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemena menerima peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Fasa Dua berjumlah RM594,000 bagi melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan dan pembangunan komuniti.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, penerima terdiri daripada wakil kawasan Kemena, Sebauh, Suai, Niah serta beberapa lokaliti lain yang telah mengemukakan permohonan.
“Hari ini saya menyerahkan cek kepada 43 penerima melibatkan kawasan Kemena, Sebauh, Suai, Niah serta beberapa kawasan lain.
“Keseluruhan peruntukan yang disalurkan berjumlah RM594,000,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Cek MRP DUN Kemena Fasa Dua yang berlangsung di Jabatan Pertanian Bahagian Bintulu, pada Khamis.
Pada majlis itu, beliau turut menggesa golongan belia melihat sektor pertanian sebagai bidang yang mampu menawarkan prospek kerjaya dan pulangan ekonomi yang lebih baik menerusi penggunaan teknologi moden.
Menurutnya, pembangunan projek pertanian pintar berasaskan Internet Kebendaan (IoT) dan konsep fusion farming di Batu 11 merupakan antara usaha kerajaan untuk melahirkan lebih ramai usahawan tani muda yang berdaya saing.
“Selepas menamatkan pengajian di universiti, golongan belia perlu memanfaatkan ilmu yang diperoleh untuk mencipta peluang menjana pendapatan, bukan sekadar bergantung kepada pekerjaan bergaji.
“Makan gaji memberi pendapatan tetap, manakala mencipta pendapatan membuka peluang untuk membina kekayaan,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Residen Bahagian Bintulu Datu Nyurak Keti, Pegawai Daerah Sebauh Thaddeus Ling serta Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Collin Patan. -EDISI UKAS