Penguatkuasaan Lebih Tegas Diperlukan Kekang Penyebaran Dadah Sintetik Melalui Vape
KUCHING: Penguatkuasaan yang lebih tegas dan menyeluruh diperlukan bagi mengekang penyebaran dadah sintetik melalui vape, sekali gus melindungi golongan belia daripada terus terjebak dengan penyalahgunaan dadah.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, trend penyalahgunaan dadah kini semakin beralih kepada dadah sintetik yang disalurkan menerusi pelbagai medium termasuk vape dan minuman.
Menurutnya, perkembangan itu memerlukan kerajaan serta agensi penguat kuasa sentiasa selangkah di hadapan sindiket pengedaran dadah melalui dasar dan tindakan penguatkuasaan yang lebih berkesan.
"Satu daripada cara dadah ini menular pada masa ini adalah melalui vape. Penguatkuasaan terhadap dadah berbahaya seperti ini perlu dilaksanakan secara berterusan dan pihak yang bertanggungjawab perlu sentiasa berada selangkah di hadapan mereka yang terlibat dalam penyebaran dadah," katanya kepada media, di sini pada Khamis.
Dato Sri Abdul Karim yang juga Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Sarawak memberitahu, usaha membanteras penyalahgunaan dadah tidak boleh digalas oleh agensi penguat kuasa semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen berterusan daripada semua pihak termasuk kerajaan, institusi pendidikan, pertubuhan belia, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) serta masyarakat.
Tambahnya, aspek pendidikan dan kesedaran dalam kalangan belia juga perlu terus diperkasa kerana mereka merupakan generasi yang bakal menerajui pembangunan negeri dan negara pada masa hadapan.
Dalam pada itu, beliau turut berpandangan bahawa pengharaman vape wajar dipertimbang memandangkan terdapat bukti penyalahgunaannya sebagai medium penyebaran bahan terlarang.
"Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak, sebanyak 5,672.5 mililiter cecair vape bernilai kira-kira RM1.02 juta telah dirampas bagi tempoh 1 Januari hingga 21 Jun 2026.
"Hasil analisis Jabatan Kimia Malaysia mengesahkan sebahagian besar cecair vape yang dirampas mengandungi bahan yang disenaraikan di bawah Akta Racun 1952 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Dalam tempoh sama, PDRM Sarawak turut merekodkan 7,561 tangkapan berkaitan jenayah narkotik membabitkan 362 pengedar, 1,420 pemilik dadah serta 5,779 penagih dan pengguna dadah,"jelasnya lanjut.
Bagaimanapun, Dato Sri Abdul Karim memaklumkan bahawa Sarawak masih berada pada landasan yang baik apabila kekal sebagai antara negeri yang mencatatkan indeks jenayah dadah terendah di negara ini.
Justeru, beliau berharap kerjasama semua pihak dapat terus diperkukuhkan, khususnya dalam mempertingkatkan penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi mengekang kemasukan dadah.
"Kita mahu melindungi anak-anak muda daripada ancaman dadah kerana merekalah yang akan mewarisi negeri dan negara pada masa hadapan," tegasnya.-EDISI UKAS