Karnival Sukan PESKO-104 Meriah, Pupuk Gaya Hidup Sihat & Semangat Berpasukan
KOTA SAMARAHAN: Karnival Sukan PESKO-104 berjaya menyemarakkan semangat kesukanan dan kebersamaan dalam kalangan warga Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak menerusi pelbagai pertandingan yang berlangsung sempena sambutan Pesta Konvokesyen (PESKO) 2026.
Program yang diadakan pada Selasa itu menjadi antara tarikan utama PESKO, sebuah festival tradisi universiti yang diraikan setiap tahun bagi menghargai pencapaian graduan serta menghidupkan suasana kampus melalui pelbagai aktiviti melibatkan pelajar, alumni dan masyarakat setempat.
Selain menggalakkan amalan hidup sihat, penganjuran karnival tersebut turut memberi ruang kepada mahasiswa untuk mengasah disiplin diri, daya tahan mental dan semangat kerjasama melalui penyertaan dalam acara sukan yang dipertandingkan.
Dalam pertandingan Frisbee Mix 5v5 yang berlangsung di Gelanggang Futsal Kompleks Sukan UiTM Cawangan Sarawak, pasukan NUCMD muncul juara selepas menampilkan prestasi cemerlang sepanjang kejohanan, manakala pasukan FLYING BANANA menduduki tempat kedua serta HALAL DISC 67 berada di kedudukan ketiga.
Bagi acara Netball Shoot Out, saingan sengit yang berlanjutan hingga ke pusingan penentuan ‘Sudden Death’ menyaksikan MOMEDO meraih gelaran juara diikuti pasukan SHOOTERS yang muncul naib juara sementara HOTSHOT melengkapkan senarai pemenang di tempat ketiga.
Sementara itu, DN SKUNTAP mengungguli acara Football Penalty Shoot Out untuk membawa pulang gelaran juara, diikuti WIN CLUB di tempat kedua dan ERUDITE di tempat ketiga.
Acara kemuncak, Convo Night Run 2026, turut mendapat sambutan menggalakkan apabila berjaya menghimpunkan penyertaan ramai warga kampus dalam suasana penuh meriah.
Penganjuran karnival berkenaan membuktikan komitmen UiTM Cawangan Sarawak dalam melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah aktif dalam kegiatan kokurikulum dan pembangunan sahsiah diri.-EDISI UKAS