Penjawat Awam Sarawak Perlu Berdiri Teguh Di Belakang Kepimpinan Premier, Pastikan Dasar Terlaksana
KAPIT: Seluruh jentera perkhidmatan awam Sarawak digesa agar sentiasa berdiri teguh di belakang kepimpinan kerajaan negeri bagi memastikan setiap dasar dan pelbagai inisiatif yang dirancang oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya demi manfaat rakyat.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, anggota perkhidmatan awam, ketua-ketua masyarakat serta barisan pimpinan kabinet negeri perlu bergerak dan bekerja sebagai satu pasukan dalam memainkan peranan masing-masing.
"Premier Sarawak kita hadir dengan pelbagai inisiatif, macam-macam dia nak buat. Dan kami sebagai anggota perkhidmatan awam perlu sentiasa berdiri teguh di belakang beliau, turun padang melihat apa keperluan rakyat.
"Ini untuk memastikan apa sahaja yang telah dilaksanakan, apa sahaja yang telah dirancang oleh kepimpinan politik kita dapat kita laksanakan dengan sebaik-baiknya," katanya semasa berucap semasa Lawatan Kerja Rasmi Program Sarawakku Sayang (SKS) Ke Bahagian Kapit di Rumah Rose, Nanga Sebatu pada Khamis.
Beliau menjelaskan bahawa program turun padang seperti itu memberi peluang kepada perkhidmatan awam untuk mengetahui kelemahan, kekurangan serta aspek yang patut dipertingkatkan dalam sistem penyampaian kepada masyarakat.
Katanya, program SKS diadakan bertujuan untuk mendekatkan lagi kerajaan dengan rakyat melalui penerangan yang jelas mengenai dasar-dasar kerajaan serta program-program yang dijalankan.
Langkah itu juga katanya membolehkan rakyat mendapatkan maklumat secara terus daripada Ketua-Ketua Jabatan atau Wakil Ketua Jabatan mengenai pelbagai inisiatif sedia ada seperti pendidikan percuma, bantuan kebajikan serta permohonan bantuan pendidikan.
Menurut Datuk Amar Mohamad Abu Bakar, beliau sengaja membawa bersama barisan Ketua Jabatan menaiki bot ke kawasan berkenaan bagi membolehkan golongan pengurusan tertinggi itu melihat sendiri realiti serta menyelami perasaan rakyat di kawasan luar bandar.
"Saya sendiri juga berasal dari kampung. Saya tahu masih banyak kekurangan. Banyak usaha telah dijalankan oleh kerajaan untuk membantu rakyat.
“Apabila kita turun padang seperti ini, kita tahu di mana kelemahan kita, apa yang kurang, apa yang patut kita pertingkatkan," katanya.
Mengulas mengenai perancangan pembangunan fizikal, beliau memaklumkan bahawa banyak pembangunan akan menyusul di kawasan berkenaan termasuk projek jalan raya dan pembinaan jambatan pada masa akan datang yang bakal menghubungkan kawasan di sebelah seberang sungai.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Felicia Tan Ya Hua, Residen Bahagian Kapit Elvis Didit, Residen Bahagian Sibu Superi Awang Said serta ketua-ketua jabatan dan agensi lain.- EDISI UKAS