Minggu Belia Sarawak 2026 Tampil Wajah Baharu, Perkasa Belia Menerusi Pelbagai Program
KUCHING: Sambutan Hari Belia Sarawak kini dijenamakan semula sebagai Minggu Belia Sarawak, yang akan berlangsung selama seminggu di Dewan Suarah Kota Samarahan dari 10 hingga 16 Ogos depan.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penjenamaan semula itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memperluaskan skop penganjuran dengan pengisian yang lebih menyeluruh, sekali gus memberi lebih banyak peluang kepada golongan belia menyertai pelbagai program pembangunan.
Menurut beliau, sambutan tahunan yang dianjurkan kementeriannya dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) itu bertujuan meraikan semangat generasi muda, di samping memperkasa mereka sebagai pemimpin masa depan Sarawak, selaras dengan tema 'Belia Aspirasi Kita' yang dikekalkan seperti tahun lalu.
"Program ini bukan sahaja menyediakan platform untuk anak muda mempamerkan bakat serta menyertai aktiviti sukan, rekreasi dan keusahawanan, malah dirangka untuk menginspirasikan perubahan positif dalam komuniti setempat," katanya dalam sidang media Sambutan Minggu Belia Sarawak 2026 di sini, pada Khamis.
Tambah Dato Sri Abdul Karim, majlis perasmian dijadualkan berlangsung pada 15 Ogos, di Dewan Suarah Kota Samarahan dan dijangka disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Jelasnya lanjut, pelbagai aktiviti berteraskan pembangunan belia akan diadakan menerusi tiga komponen utama iaitu Youth Champion, Youth Active dan Youth Marketplace, selain pameran agensi kerajaan yang menyediakan maklumat berkaitan peluang pekerjaan, pendidikan, keusahawanan dan perkhidmatan kepada masyarakat.
Kemuncak sambutan pula katanya, masih mengekalkan acara tahunan iaitu penyampaian Anugerah Belia Sarawak yang merangkumi kategori Tokoh Belia Lelaki, Tokoh Belia Wanita dan Persatuan Belia yang cemerlang atas sumbangan mereka kepada pembangunan masyarakat serta negeri.
"Penerima Anugerah Tokoh Belia Lelaki dan Wanita masing-masing akan menerima trofi, sijil serta wang tunai RM5,000, manakala johan Anugerah Persatuan Belia menerima RM10,000 dan naib johan RM7,000.
"Anugerah ini bukan sekadar penghargaan kepada penerima, malah bertujuan melahirkan lebih ramai ikon belia yang berketerampilan dan cemerlang untuk menjadi contoh kepada generasi muda di peringkat negeri dan kebangsaan," tegas beliau.
Sambutan Minggu Belia Sarawak 2026 turut bakal dimeriahkan dengan persembahan artis tempatan seperti Mawat, Faris Malik, Hairie Francis, Raquel Tan, Hijrah Yahya, Firdaus Matran dan Jessie Stellito, selain penampilan artis jemputan dari Semenanjung, Afiq Syazwan dan Baby Shima.-EDISI UKAS