Projek Jalan Teku Pasai Siong-Kemuyang Dahului Jadual, Catat Kemajuan 25.5 Peratus
SIBU: Projek Jalan Teku Pasai Siong-Kemuyang (Pakej 1) bernilai RM76 juta kini berjalan lancar dengan mencatatkan kemajuan fizikal sebanyak 25.5 peratus, mendahului jadual asal yang ditetapkan iaitu 22.7 peratus.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, prestasi kerja yang mendahului jadual sebanyak 2.82 peratus itu menunjukkan perkembangan dan sasaran yang baik bagi projek sepanjang 6.17 kilometer berkenaan.
"Meskipun faktor cuaca dijangka memberikan gangguan, namun setakat ini segalanya berjalan dengan baik.
“Perkembangan ini juga membuktikan bahawa apa yang dijanjikan oleh Premier Sarawak dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sedang dilaksanakan demi kebaikan rakyat," katanya selepas mengadakan lawatan ke tapak projek berkenaan pada Jumaat.
Projek infrastruktur berkenaan turut menampilkan komponen menarik iaitu pembinaan sebuah struktur bertingkat sepanjang 704 meter bagi mengatasi cabaran struktur tanah gambut di kawasan tersebut.
Mengulas lanjut, Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru Kedua merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan itu menjelaskan bahawa kawasan berkenaan mempunyai potensi yang sangat besar memandangkan ia memiliki struktur tanah yang cantik.
"Dengan adanya jalan baharu ini, ia akan membuka sebuah kawasan baharu. Malah, pihak kami sedang mencari jalan untuk menghubungkan laluan ini dengan Pasai Siong.
"Ia akan menjadi jalan kedua ke bandar Sibu dari Pasai Siong memandangkan pada masa sekarang kita hanya mempunyai satu laluan sahaja," katanya sambil menambah pihak kerajaan akan meminta kontraktor untuk menyiapkan pembinaan tersebut secepat mungkin.
Datuk Amar Douglas Uggah menyifatkan pembinaan jalan raya itu sebagai satu projek yang mudah memandangkan faktor struktur dan keadaan tanah-tanah yang terdapat di kawasan berkenaan.-EDISI UKAS