Sarawak Percepat Transformasi Ekonomi Hijau, Teknologi Maju Capai Aspirasi PCDS 2030
KAPIT: Sarawak terus mempercepat agenda transformasi ekonomi dengan memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi hijau, tenaga boleh diperbaharui, kecerdasan buatan (AI) serta pembangunan modal insan sebagai pemacu utama ke arah merealisasikan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, perubahan pesat landskap ekonomi global menuntut Sarawak beralih daripada ekonomi berasaskan sumber tradisional kepada ekonomi rendah karbon yang lebih mampan dan dipacu teknologi serta inovasi.
Menurut beliau, hutan kini bukan sahaja menjadi khazanah semula jadi, malah mempunyai nilai ekonomi yang tinggi menerusi fungsinya sebagai penyerap karbon yang menyokong perdagangan karbon selaras dengan komitmen antarabangsa.
"Pembangunan berlaku dengan begitu pantas kerana peralihan teknologi. Contohnya di Kapit dahulu bergantung kepada sumber hutan maka hari ini telah berubah. Kerana hutan adalah satu-satunya cara untuk kita mengumpul karbon yang menjadi asas kepada perdagangan karbon dan berdasarkan Perjanjian Paris 2015,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Kapit di sini pada Sabtu.
Mengulas mengenai sektor tenaga, beliau berkata rundingan antara Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan PETRONAS dijangka membuka ruang kerjasama yang mampu memperkukuh pembangunan industri tenaga, sekali gus memberi manfaat kepada pertumbuhan ekonomi Sarawak dan negara.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan Sarawak turut memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan menerusi pelaksanaan 64 program pendidikan dan latihan yang merangkumi pelbagai bidang seperti sains, teknologi, pengurusan, kewangan dan psikologi.
Menurut beliau, perubahan sosial dan gaya hidup masyarakat turut meningkatkan keperluan terhadap tenaga profesional, khususnya dalam bidang psikologi.
"Ini adalah untuk kita melahirkan modal insan berkemahiran tinggi,” tambahnya.
Terdahulu ketika berucap pada majlis perasmian, Datuk Patinggi Abang Zohari mengumumkan hasrat kerajaan membangunkan Kapit sebagai sebuah bandar lestari alam sekitar atau green township.
"Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi akan mengusahakan dana daripada Kerajaan Persekutuan dan kita akan menyokong usaha ini termasuk membangunkan jalan di seberang Kapit.
"Pertama adalah sama ada untuk membina jambatan terlebih dahulu dari Bandar Kapit ke seberang sungai. Dan kita akan bangunkan bandar yang lestari alam sekitar iaitu green township, mungkin yang pertama di kawasan ini,” jelasnya.
Pada majlis sama, beliau turut menyempurnakan simbolik penyerahan Bantuan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) dan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES).
Sejurus selesai majlis, beliau mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru sebelum menghadiri taklimat Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) di lapangan terbang lama Kapit.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri-menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-timbalan Menteri serta Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak.-EDISI UKAS