Jabatan Pertanian Perlu Fokus Keberhasilan Demi Impak Kepada Rakyat
BINTULU: Jabatan Pertanian Sarawak perlu mengubah pendekatan penyampaian perkhidmatan dengan memberi tumpuan kepada hasil yang membawa impak sebenar kepada rakyat, bukan sekadar melaksanakan projek atau membelanjakan peruntukan.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, setiap warga jabatan perlu mengamalkan budaya kerja berprestasi tinggi dengan memastikan setiap program yang dirancang mencapai matlamat serta memberi manfaat kepada pembangunan sektor pertanian negeri.
Menurut beliau, setiap bahagian dalam jabatan juga perlu mengenal pasti kelemahan sedia ada dan melaksanakan penambahbaikan secara berterusan bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.
Katanya, amalan kerja seperti biasa tidak lagi memadai, sebaliknya setiap warga jabatan perlu mempunyai rasa tanggungjawab yang tinggi dalam memenuhi harapan kerajaan dan rakyat.
“Setiap peringkat mempunyai peranan masing-masing untuk mempertingkatkan dan memperkasakan imej Jabatan Pertanian.
“Kita mempunyai banyak program dan perancangan, namun semuanya tidak bermakna jika gagal dilaksanakan dan tidak menghasilkan impak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Seminar Pengembangan dan Pemerkasaan Modal Insan Jabatan Pertanian Sarawak 2026, di sini pada Jumaat.
Sementara itu, Pengarah Pertanian Sarawak, Dominic Chunggat berkata, seminar berkenaan bukan sahaja meningkatkan kompetensi warga jabatan, malah memperkukuh semangat berpasukan serta mengeratkan silaturahim dalam kalangan warga kerja.
Menurutnya, penganjuran seminar tahun ini turut menampilkan kelainan menerusi penyertaan aktiviti sukan bagi mewujudkan keseimbangan antara pembangunan profesional dan kesejahteraan warga kerja.
Tambah beliau, seminar itu turut menampilkan lapan penceramah yang berkongsi pengetahuan serta kepakaran dalam usaha memperkasa kemahiran dan kompetensi peserta.-EDISI UKAS