Program Jiwa Murni Perkukuh Sinergi Komuniti-Tentera Demi Keselamatan Negara
SERIAN: Kerjasama strategik antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM), agensi kerajaan dan komuniti terus diperkukuh menerusi Program Jiwa Murni sempena Karnival Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) Peringkat 1 Divisyen yang berlangsung di Kampung Tebekang Bidayuh, pada Sabtu.
Program anjuran Kementerian Pertahanan Malaysia itu menjadi platform memperkasa kerjasama awam-tentera dalam meningkatkan kesiapsiagaan masyarakat serta memupuk kesedaran mengenai tanggungjawab bersama mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara.
Ahli Parlimen Serian, Dato Sri Dr Richard Riot Jaem berkata, penganjuran program seumpama itu bukan sahaja merapatkan hubungan antara ATM dan masyarakat, malah memperkukuh semangat patriotisme serta keyakinan rakyat terhadap peranan pasukan keselamatan dalam menjaga keamanan negara.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jiwa Murni sempena Karnival Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) Peringkat 1 Divisyen di Kampung Tebekang Bidayuh.
Menurut beliau, pendekatan turun padang menerusi program kemasyarakatan membolehkan ATM mendekati rakyat secara lebih menyeluruh, di samping meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai kepentingan penglibatan awam dalam agenda pertahanan negara.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Markas 1 Divisyen ATM atas komitmen menganjurkan program yang memberi manfaat kepada komuniti melalui pelbagai aktiviti berorientasikan kebajikan, kesihatan dan pendidikan pertahanan.
Sepanjang program, masyarakat berpeluang mengikuti Karnival Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC), mendapatkan perkhidmatan kesihatan dan pergigian, mengunjungi pameran aset ketenteraan serta menyaksikan demonstrasi yang mempamerkan keupayaan dan kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia.
Turut hadir, Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia Mejar Jeneral Mohd Sobirin Mohd Yusof, Panglima Briged Ketiga Infantri Malaysia Brigedier Jeneral Khairuddin Zakaria, Timbalan Residen Bahagian Serian Abdul Khalid Manap, Pegawai Daerah Serian Henry Inting Nyami dan Ketua Staf Markas 1 Divisyen Kolonel Rosezaimee Abdullah @ Ismail. -EDISI UKAS