Program Mesra Komuniti Perkukuh Hubungan Kerajaan, Rakyat Di Long Banga
MIRI: Program Mesra Komuniti Long Banga dan Long Peluan terus memperkukuh hubungan antara kerajaan dan rakyat menerusi penyampaian maklumat pembangunan, penyediaan perkhidmatan kerajaan serta sesi libat urus bersama masyarakat pedalaman.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala berkata, program seumpama itu menjadi platform penting untuk mendekatkan kerajaan dengan rakyat, di samping memberi peluang kepada penduduk berkongsi pandangan serta bersama-sama mencari penyelesaian demi kesejahteraan komuniti.
Menurut beliau, inisiatif tersebut selaras dengan aspirasi Kerajaan Sarawak yang komited memastikan kawasan pedalaman seperti Long Banga dan Long Peluan tidak tercicir daripada arus pembangunan.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Mesra Komuniti Long Banga dan Long Peluan, di sini pada Jumaat.
Tambah beliau, komitmen kerajaan diterjemahkan melalui penyediaan kemudahan asas, pemerkasaan infrastruktur, peningkatan akses kepada pendidikan, kesihatan dan telekomunikasi, selain mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar.
Dalam pada itu, Datuk Gerawat turut menghargai penglibatan Pejabat Daerah Miri yang membuka kaunter perkhidmatan dan berkongsi pelbagai maklumat kepada penduduk sepanjang program berlangsung.
Katanya, penyertaan pelbagai agensi kerajaan membuktikan komitmen berterusan dalam menyampaikan perkhidmatan yang lebih cekap, mudah diakses dan berkesan kepada masyarakat luar bandar.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pemimpin masyarakat, ketua kaum, jawatankuasa penganjur serta penduduk Long Banga dan Long Peluan atas kerjasama serta sambutan yang diberikan dalam menjayakan program tersebut.
Turut hadir Pegawai Daerah Miri Siti Rohanie Yusof dan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Dominic Nyurang Ajang.-EDISI UKAS