RWMF Cadang Tawar Diskaun Khas Kepada Warga Emas Sempena Edisi Ke-30
KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang mempertimbangkan cadangan menawarkan diskaun khas kepada pengunjung warga emas sempena ulang tahun ke-30 Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) pada tahun hadapan sebagai menghargai sokongan berterusan golongan tersebut terhadap festival itu.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, cadangan itu merupakan antara inisiatif yang sedang diteliti bersempena sambutan tiga dekad penganjuran RWMF pada 2027.
“Tahun depan merupakan ulang tahun ke-30 RWMF dan kita sedang mempertimbangkan beberapa pembaharuan, termasuk cadangan menawarkan diskaun khas kepada warga emas sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang terus menyokong festival ini sejak sekian lama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Rainforest World Music Festival (RWMF) 2026 di Kampung Budaya Sarawak, pada Jumaat.
Beliau menambah, cadangan tersebut bertujuan menjadikan RWMF lebih inklusif dengan membuka peluang kepada lebih ramai golongan masyarakat, khususnya warga emas, untuk menikmati festival muzik bertaraf antarabangsa itu.
Katanya, kerajaan negeri juga sedang meneliti beberapa pembaharuan lain bagi memastikan RWMF terus relevan, berdaya saing dan mampu menarik lebih ramai pengunjung tempatan serta antarabangsa.
Beliau yakin sambutan ulang tahun ke-30 RWMF pada tahun hadapan bakal menjadi satu lagi detik penting dalam sejarah penganjuran festival berkenaan, sekali gus memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai destinasi utama pelancongan budaya di rantau ini.-EDISI UKAS