Jawatankuasa Komuniti KEMAS Kota Samarahan Ditubuhkan
KOTA SAMARAHAN: Jawatankuasa Komuniti KEMAS Parlimen Kota Samarahan secara rasmi ditubuhkan bagi memperkukuh penyelarasan serta pelaksanaan program pembangunan komuniti di kawasan berkenaan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, penubuhan jawatankuasa berkenaan merupakan langkah penting dalam memperkasakan penglibatan masyarakat di peringkat akar umbi di samping memperkukuh jaringan kerjasama antara agensi kerajaan dan komuniti setempat.
Menurutnya, platform tersebut akan membantu memastikan setiap program yang dirancang dapat dilaksanakan secara lebih tersusun, berkesan dan memberi manfaat menyeluruh kepada masyarakat.
“Kerjasama erat antara semua pihak amat penting dalam memastikan agenda pembangunan komuniti dapat dilaksanakan dengan jayanya, selaras dengan keperluan dan aspirasi penduduk setempat,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Komuniti KEMAS di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Samarahan, di sini pada Jumaat.
Beliau berharap jawatankuasa yang dibentuk dapat berfungsi sebagai medium penyelarasan yang efektif serta menjadi pemangkin kepada pelaksanaan program-program berimpak tinggi demi kesejahteraan rakyat.
Dalam mesyuarat berkenaan, pelbagai pandangan serta cadangan turut dikemukakan bagi memperkukuh pelaksanaan program komuniti, termasuk usaha meningkatkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti pembangunan sosial, pendidikan dan kesejahteraan komuniti. -EDISI UKAS