Rakyat Digesa Terus Bersatu, Tidak Terpengaruh Sentimen Negatif Berkaitan Pembangunan
PADAWAN: Rakyat digesa agar terus bersatu dan tidak mudah terpengaruh dengan sentimen negatif yang boleh menjejaskan usaha pembangunan di kawasan masing-masing.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil berkata, kerjasama serta kesepakatan dalam kalangan masyarakat merupakan kunci utama untuk memastikan pembangunan dapat dilaksanakan secara berterusan demi kesejahteraan rakyat.
“Apa yang penting ialah kita terus bekerjasama, bersyukur dan bergerak ke hadapan membangunkan kawasan kita,” katanya ketika berucap dalam Majlis Merun Kasah Gawai Daerah Kecil Padawan 2026 di Foyer Pejabat Daerah Kecil Padawan pada Jumaat.
Majlis anjuran Pejabat Daerah Kecil Padawan dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (KMKK) Daerah Kecil Padawan itu berlangsung meriah dengan menampilkan pelbagai pengisian berteraskan warisan budaya masyarakat Bidayuh.
Pelbagai makanan tradisional Bidayuh dipamerkan di Rumah Gawai (Beri Gawai), manakala pertandingan Rumah Gawai turut diadakan bagi memeriahkan lagi acara tersebut.
Dalam pertandingan tersebut, Kumpulan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Zon Braang Bengoh telah dinobatkan Rumah Gawai (Beri Gawai) Terbaik sekali gus muncul juara pertandingan sempena sambutan kali ini manakala tempat kedua dimenangi oleh KMKK Zon Annah Biya diikuti KMKK Zon Biperoh Penrissen di tempat ketiga.
Program itu bukan sahaja menjadi platform memelihara dan memartabatkan warisan budaya masyarakat Bidayuh, malah mengukuhkan semangat perpaduan serta kerjasama dalam kalangan komuniti di Daerah Kecil Padawan. -EDISI UKAS