PADAWAN: Kerajaan Sarawak akan melaksanakan Sistem Akut Puncak Borneo Fasa 2 bagi memperluaskan liputan bekalan air bersih ke lebih banyak kawasan di Daerah Kecil Padawan, khususnya dalam konstituensi Mambong.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil berkata, projek sistem air akut bernilai RM12.6 juta di Kampung Bengoh kini telah memberi manfaat kepada beberapa kampung di kawasan DUN Mambong seperti Kampung Jambu dan sekitarnya yang sebelum ini sering mengalami gangguan tekanan air rendah.
Menurut beliau, bekalan air tersebut akan terus diperluaskan ke Kampung Petag, Kampung Sitang, Kampung Bangau serta SK Sitang Petag dalam usaha memastikan lebih ramai penduduk menikmati kemudahan asas itu.
“Bagi memastikan liputan lebih menyeluruh, kerajaan merancang untuk melaksanakan Sistem Akut Puncak Borneo Fasa 2 yang bakal diwujudkan di Kampung Sapit sebagai pusat agihan baharu,” katanya.
Tambahnya, bekalan air daripada fasa kedua ini kemudiannya akan disalurkan ke Kampung Assum dan Kampung Parang dan kawasan sekitar, walaupun terdapat cabaran dari segi tekanan air yang sedang ditangani secara berperingkat.
Dalam perkembangan lain, Datuk Dr Jerip memberitahu, pemasangan lampu jalan dari persimpangan Penjara Puncak Borneo ke Kampung Garung telah siap dilaksanakan, manakala bagi jajaran dari Kampung Garung ke Kampung Annah Rais akan dipercepatkan dalam fasa seterusnya.
Dari sudut ekonomi pula, beliau menjelaskan, pendekatan pembangunan bersepadu turut diperkenalkan melalui sektor pelancongan dan pertanian, termasuk pembangunan tanaman kopi di Bayur Jambu bagi meningkatkan sumber pendapatan komuniti setempat.
“Kita mahu pembangunan ini memberi impak langsung kepada pendapatan dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan pembangunan Sarawak terus dipacu secara inklusif dan berterusan, khususnya di kawasan luar bandar seperti Padawan. -EDISI UKAS