28 Bilik Darjah Pintar SJKC Su Lai Perkasa Pendigitalan Pendidikan
SIBU: Sebanyak 28 bilik darjah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Su Lai kini dilengkapi kemudahan bilik darjah pintar menerusi sokongan Kerajaan Sarawak sebagai usaha memperkukuh agenda pendigitalan pendidikan di negeri ini.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, kemudahan tersebut merangkumi pemasangan papan pintar interaktif bagi membolehkan murid menikmati pengalaman pembelajaran yang lebih moden, interaktif dan selaras dengan perkembangan teknologi semasa.
Menurutnya, inisiatif itu diyakini dapat meningkatkan minat murid terhadap bidang teknologi, sains serta pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sejak di peringkat sekolah rendah.
“Saya amat percaya bahawa inisiatif ini akan terus mempromosikan ilmu teknologi, sains dan pendidikan STEM dalam kalangan murid-murid sekolah rendah kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Bilik Darjah Pintar, di SJKC Su Lai pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kemajuan teknologi dalam bilik darjah tidak boleh menggantikan peranan guru sebagai tonggak utama sistem pendidikan.
“Teknologi hanyalah suatu wadah atau alat bantuan dalam proses pembelajaran. Peranan utama dalam dunia pendidikan tetap digalas oleh para guru.
"Merekalah 'jurutera masa depan' yang sebenar, yang mendidik, mengajar, dan memberi inspirasi untuk memandu anak-anak kita mencapai tahap kecemerlangan akademik tertinggi," ujarnya.
Datuk Michael yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan turut berkata, Kerajaan Sarawak terus memperkukuh sektor pendidikan menerusi pelbagai inisiatif strategik termasuk pelaksanaan pendidikan tinggi percuma, Program Dwibahasa (DLP) serta penubuhan Sekolah Antarabangsa Yayasan Sarawak.
Beliau yakin pelaburan berterusan dalam sektor pendidikan akan melahirkan lebih ramai bakat tempatan dalam tempoh sedekad akan datang bagi memenuhi keperluan industri baharu seperti tenaga hijau, ekonomi digital dan hidrogen
Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah SJKC Su Lai Temenggung Dato Vincent Lau Lee Ming dan Guru Besar SJKC Su Lai Kho Kiat Hee.-EDISI UKAS