Malam Budaya Sarawak Semarakkan Program Sarawakku Sayang 2026 Peringkat Bahagian Kapit
KAPIT: Kemeriahan Program Sarawakku Sayang 2026 Peringkat Bahagian Kapit diteruskan dengan penganjuran Malam Budaya Sarawak yang berlangsung penuh warna-warni di tapak program, di sini, pada Jumaat.
Majlis yang mengetengahkan apresiasi terhadap warisan budaya Sarawak itu diserikan dengan kehadiran Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Felicia Tan Ya Hua yang meluangkan masa bersama masyarakat setempat menyaksikan pelbagai persembahan seni dan kebudayaan.
Antara pengisian utama ialah persembahan bertemakan Sarawak Harmoni, Warisan Etnik serta alunan tradisional Gendang Bermukun yang mencerminkan keharmonian, kepelbagaian budaya dan kekayaan warisan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Kemuncak acara menyaksikan persembahan artis tempatan terkenal seperti Spinney, Mawat, Karen Libau, Amis U, Gwen serta gandingan DJ Sonic dan DJ Menti, selain persembahan istimewa daripada Kunatak Band yang berjaya menghiburkan ribuan pengunjung yang memenuhi tapak program.
Hadir sama memeriahkan majlis ialah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Telekomunikasi) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga Datuk Liwan Lagang serta ADUN Pelagus Wilson Nyabong Ijang.
Turut hadir, Residen Bahagian Kapit Elvis Didit, Pegawai Daerah Kapit Thomas Geoffrey Kandawang, Pegawai Daerah Song Harry Bruce Edwin serta Pegawai Daerah Bukit Mabong, Jabang Juntan.-EDISI UKAS