99 Penerima Terima Geran Khas MRP Berjumlah RM382,400 Di Meradong
MERADONG: Seramai 99 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), persatuan, kelab, gereja serta agensi kerajaan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong menerima Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM382,400 bagi menyokong pelaksanaan pelbagai program pembangunan komuniti.
Geran berkenaan telah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing dalam satu majlis ringkas di Pejabat Parti SUPP Cawangan Bintangor, pada Jumaat.
Dalam ucapannya, Datuk Ding berkata, penyaluran Geran Khas MRP mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkasa pembangunan di peringkat akar umbi.
Beliau turut menegaskan bahawa dana tersebut merupakan peruntukan yang diluluskan oleh Kerajaan Sarawak bagi memastikan pelbagai inisiatif pembangunan masyarakat dapat dilaksanakan secara berkesan.
Menurutnya, JKKK, persatuan, kelab, gereja dan agensi kerajaan memainkan peranan penting sebagai rakan strategik kerajaan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat serta memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Sehubungan itu, beliau berharap semua penerima dapat memanfaatkan geran yang disalurkan dengan penuh amanah, berhemah dan telus supaya setiap program yang dirancang dapat dilaksanakan dengan jayanya serta memberi impak positif kepada masyarakat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penerima atas dedikasi dan komitmen mereka dalam membantu membangunkan masyarakat, selain berharap kerjasama erat antara kerajaan dan rakyat akan terus diperkukuh demi kemajuan serta kesejahteraan kawasan DUN Meradong.-EDISI UKAS