Pertandingan Akademik & Bakat Platform Cungkil Potensi Murid Sekolah Rendah Cina Sarawak
MERADONG: Pertandingan Akademik dan Bakat Semua Sekolah Rendah Cina Sarawak Tahun 2026 menjadi platform penting dalam mencungkil potensi serta mengembangkan bakat murid di samping memupuk budaya kecemerlangan dalam kalangan generasi muda.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, pertandingan seumpama itu bukan sahaja memberi ruang kepada murid mempamerkan kebolehan masing-masing, malah membina keyakinan diri, semangat daya saing yang sihat dan keberanian menghadapi cabaran.
“Melalui penyertaan dalam pertandingan seperti ini, para peserta berpeluang menimba pengalaman baharu, memperluaskan pengetahuan dan menjalinkan hubungan persahabatan dengan rakan-rakan dari seluruh Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pertandingan Akademik dan Bakat Semua Sekolah Rendah Cina Sarawak Tahun 2026 yang berlangsung di Christus Lumen Mundi Hall, di sini pada Jumaat.
Datuk Ding turut menegaskan bahawa dalam era perkembangan teknologi yang pesat, kecemerlangan akademik perlu diseimbangkan dengan pembangunan kreativiti, kemahiran berfikir, semangat kerja berpasukan dan pembentukan sahsiah yang mulia.
Katanya, usaha sekolah-sekolah rendah Cina yang terus memberi penekanan kepada pembangunan bakat, kebudayaan dan pendidikan holistik wajar dipuji kerana mampu melahirkan generasi yang berkualiti serta berdaya saing. -EDISI UKAS