Dialog Pembangunan Sarawakku Sayang Perkukuh Kerjasama Rakyat, Agensi
MATU: Program Dialog Pembangunan Sarawakku Sayang bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jemoreng menjadi wadah penting dalam memperkukuh hubungan antara masyarakat dan agensi kerajaan menerusi penyampaian maklumat serta penyelesaian isu secara terus.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya berkata, dialog seumpama itu merupakan platform terbaik untuk memupuk sikap positif masyarakat terhadap agensi kerajaan, khususnya apabila berdepan isu di kawasan mereka.
Beliau turut menegaskan bahawa masyarakat perlu mengamalkan saluran aduan yang betul bagi membolehkan tindakan segera diambil oleh agensi berkaitan, dan bukannya terus menyebarkan isu di media sosial yang tidak membawa kepada penyelesaian.
"Apabila aduan disalurkan melalui saluran yang tepat, setiap isu dapat diteliti dan diselesaikan dengan lebih berkesan.
“Kerjasama erat antara masyarakat dan agensi kerajaan amat penting dalam memastikan setiap permasalahan dapat ditangani dengan baik," katanya semasa mempengerusikan dialog berkenaan yang diadakan di Pusat Sumber Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tian pada Jumaat.
Datuk Dr Juanda turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang telah memberikan penjelasan secara menyeluruh terhadap setiap isu yang dibangkitkan sepanjang sesi dialog.
Dialog tersebut merupakan siri pertama yang diadakan bagi tahun ini, yang dimulakan dengan Zon Kampung Tian yang melibatkan tujuh buah kampung di bawah zon berkenaan.
Program tersebut menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan termasuk Pejabat Residen Mukah, Majlis Daerah Matu dan Daro (MDMD), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Pejabat Daerah Matu, Baitulmal, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Matu, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Sarawak Energy Berhad (SEB), Jabatan Kerja Raya (JKR) Mukah serta Unit Perancang Ekonomi (EPU) Sarawak yang turut menyampaikan taklimat mengenai Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Sepanjang sesi dialog, pelbagai isu dan permasalahan yang dibangkitkan oleh penduduk berjaya dikumpulkan serta diberikan penjelasan secara langsung oleh pegawai daripada setiap agensi yang hadir.
Antara isu yang paling banyak mendapat perhatian ialah berkaitan kemudahan asas serta pembangunan infrastruktur, sekali gus membuktikan keprihatinan masyarakat terhadap usaha meningkatkan kesejahteraan kawasan masing-masing.
Program Dialog Pembangunan Sarawakku Sayang ini akan diteruskan ke zon-zon lain di DUN Jemoreng dalam masa terdekat bagi memastikan setiap komuniti berpeluang menyuarakan pandangan dan memperoleh maklumat secara terus daripada agensi berkaitan.
Turut hadir ialah Residen Bahagian Mukah Bujang Rahman Seli.-EDISI UKAS