Sembilan Pelajar STPM 2025 Terima Insentif Kecemerlangan
MATU: Seramai sembilan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Igan yang memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.00 dan ke atas dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 menerima insentif dalam satu majlis ringkas yang diadakan pada Jumaat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya berkata, pemberian insentif itu merupakan satu bentuk penghargaan atas usaha gigih, disiplin serta komitmen yang telah ditunjukkan oleh para pelajar dalam mencapai kecemerlangan akademik.
Beliau turut menzahirkan rasa bangga atas pencapaian yang diraih dan berharap kejayaan tersebut akan menjadi pemangkin untuk mereka terus melangkah lebih jauh dalam bidang pendidikan.
“Teruskan usaha untuk menyambung pelajaran ke institusi pengajian tinggi yang terbaik. Rebutlah setiap peluang yang ada untuk menimba ilmu dan membina masa depan yang cemerlang,” katanya.
Dalam pada itu, penerima menzahirkan rasa gembira dan bersyukur atas penghargaan yang diterima sambil menyifatkan ia sebagai suntikan semangat untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan di peringkat yang lebih tinggi. -EDISI UKAS