Sabah, Sarawak Sepakat Formalkan Kerjasama Ekonomi Rentas Wilayah Borneo
KUCHING: Sabah dan Sarawak mencapai kata sepakat untuk memformalkan kerjasama ekonomi rentas wilayah Borneo sebagai langkah strategik memperkukuh perdagangan, pelaburan dan pembangunan ekonomi serantau.
Timbalan Ketua Menteri II Sabah merangkap Menteri Pembangunan Industri dan Keusahawanan Sabah, Datuk Ewon Benedict berkata, persetujuan itu dicapai susulan kunjungan hormat beliau kepada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan semalam.
Menurut beliau, kerjasama tersebut akan diselaraskan secara strategik menerusi kementeriannya di Sabah bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Sarawak bagi memperkasa agenda pembangunan ekonomi kedua-dua wilayah.
“Sabah memerlukan Sarawak, dan Sarawak memerlukan Sabah untuk memastikan wilayah Borneo ini membangun dengan lebih dinamik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pameran dan Upacara Perniagaan Gawai-Kaamatan DCCI-KCCI Ke-17 di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau berkata penganjuran bersama oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI) serta Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun (KCCI) membuktikan hubungan erat serta semangat perpaduan yang kukuh antara Sabah dan Sarawak.
Katanya, sambutan Gawai Dayak dan Pesta Kaamatan kini bukan lagi sekadar meraikan musim menuai, malah telah berkembang menjadi platform penting yang menghubungkan aspek ekonomi, sosial dan budaya masyarakat Borneo.
“Pameran dua hari yang menghimpunkan lebih 50 pempamer dari Sabah dan Sarawak ini menampilkan pelbagai produk termasuk kraftangan, hasil agro, makanan serta industri kreatif yang mencerminkan kekayaan warisan budaya kita.
“Kepelbagaian ini turut menjadi pemacu kepada pembangunan ekonomi kreatif tempatan yang unik dan bernilai tinggi,” ujarnya lagi.
Sehubungan itu, beliau menggesa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Sabah dan Sarawak memanfaatkan peluang yang tersedia melalui kerjasama rentas wilayah dengan meneroka pasaran baharu, memanfaatkan teknologi digital serta membina jaringan strategik menerusi sesi padanan perniagaan. -EDISI UKAS