1,388 Ketua Isi Rumah Zon Tian Terima Bantuan Agihan Mesra Rakyat
MATU: Seramai 1,388 Ketua Isi Rumah (KIR) di tujuh kampung sekitar Zon Tian menerima bantuan barangan keperluan asas menerusi Program Agihan Mesra Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jemoreng sebagai usaha meringankan beban kos sara hidup penduduk.
Program anjuran Pusat Khidmat DUN Jemoreng itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya, di sekitar Kampung Tian, di sini pada Jumaat.
Agihan tersebut melibatkan penduduk di Kampung Tinak, Kampung Baru Tian, Kampung Tengah Tian, Kampung Masjid Tian, Kampung Padang, Kampung Kebuau dan Kampung Berjaya.
Inisiatif itu bertujuan membantu meringankan beban perbelanjaan harian rakyat, khususnya dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup semasa, selain mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menjaga kebajikan masyarakat di peringkat akar umbi.
Program berkenaan merupakan antara usaha berterusan Datuk Dr Juanda bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian di samping mengukuhkan hubungan erat antara pemimpin dan masyarakat di kawasan DUN Jemoreng.-EDISI UKAS