Projek Paip Graviti Tingkat Bekalan Air Zon Sematan
SEMATAN: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh penyediaan kemudahan asas di Zon Sematan apabila memperuntukkan RM300,000 bagi melaksanakan projek paip graviti yang bakal meningkatkan bekalan air kepada penduduk di beberapa kampung di kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan berkata, projek itu akan menghubungkan Sebat Dayak ke Kampung Pueh, Kampung Pueh Kenek dan Siru Dayak, sekali gus memberi manfaat kepada penduduk yang memerlukan sistem bekalan air yang lebih stabil.
Menurut beliau, pelaksanaan projek tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak untuk memastikan pembangunan di Zon Sematan dilaksanakan secara menyeluruh berdasarkan keperluan sebenar rakyat.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Makan Bakomok di Balai Raya Kampung Pueh Kenek, di sini pada Jumaat.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan projek pembinaan jalan dari rumah ke rumah di Kampung Pueh Kenek telah siap sepenuhnya, sekali gus meningkatkan ketersambungan serta kemudahan pergerakan penduduk.
Beliau turut meluluskan permohonan pembinaan stor dewan secara gotong-royong bagi kegunaan komuniti setempat, selain memaklumkan penambahbaikan sistem perparitan akan menjadi antara keutamaan pembangunan seterusnya bagi mewujudkan persekitaran kampung yang lebih selamat dan teratur.
Menyentuh isu telekomunikasi, Azizul menggesa penduduk mengemukakan aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membolehkan tindakan susulan diambil untuk meningkatkan liputan rangkaian di kawasan tersebut.
Katanya, akses internet kini merupakan antara keperluan penting yang menyokong pendidikan, urusan harian, penyampaian perkhidmatan kerajaan serta pembangunan ekonomi digital masyarakat luar bandar.
Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada 10 asnaf dari Kampung Pueh, Kampung Pueh Kenek, Siru Dayak dan Sebat Dayak sebagai sebahagian daripada usaha berterusan membantu golongan yang memerlukan. -EDISI UKAS